Laporan polis terhadap pemaju
ingkar
Utusan Malaysia 9/2/2006
SHAH ALAM 8 Feb.Kerajaan Selangor akan membuat laporan polis terhadap
pemaju perumahan swasta yang melanggar syarat perjanjian jual beli rumah
atas dakwaan melakukan jenayah perdagangan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, keputusan
dibuat ekoran terlalu banyak aduan daripada pembeli sejak kebelakangan ini
mengenai kegagalan pemaju mematuhi spesifikasi seperti dalam perjanjian.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan Ibu
Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor dan akan bertindak membawa pemaju
perumahan ke muka pengadilan jika terdapat bukti-bukti kukuh.
Katanya, aduan polis boleh dilakukan oleh pembeli melalui Lembaga Perumahan
dan Hartanah Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang turut akan
mengenal pasti projek perumahan bermasalah.
"Ada pemaju yang menggunakan nama orang lain dalam syarikat tetapi projek
perumahan itu mereka yang buat. Jadi kita akan ambil tindakan kepada nama
yang tertera dalam syarikat itu.
"Tindakan ini perlu supaya pihak yang namanya tertera dalam syarikat
terbabit bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku," katanya pada sidang
akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Dr. Mohamad Khir menarik perhatian ada pemaju yang melanggar perjanjian
dengan tidak menyediakan bekalan air walaupun setelah pembeli menduduki
rumah.
"Sebab itu kita tidak mahu mengeluarkan sijil layak menduduki (CF) apabila
pemaju tidak penuhi perkara seperti ini.
"Bagaimanapun, rakyat tidak faham perkara ini dan marah pula pada kerajaan
kerana tidak keluarkan CF," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak
boleh mengeluarkan CF sekiranya terdapat spesifikasi yang tidak dipenuhi
pemaju.
Tambahnya, kerajaan negeri juga boleh mengambil tindakan ke atas pemaju
perumahan melalui Akta Pembangunan Perumahan 2002 tetapi sukar untuk membawa
kes tersebut melalui cara itu.
"Setelah kita dakwa mereka melakukan kesalahan melanggar perjanjian jual
beli ini baru boleh kita pergi ke Akta Pembangunan Perumahan ini untuk
mendapatkan balik jumlah kerugian yang dialami oleh pembeli," katanya.
Beliau memberitahu, antara lokasi projek perumahan bermasalah yang telah
dikenal pasti ialah di Kundang dan Rinching.
Dalam pada itu, Dr. Mohamad Khir juga menasihati penduduk negeri ini supaya
membeli rumah daripada pemajupemaju yang mempunyai rekod baik. |