Faedah bank melebihi harga
rumah
22/02/2006 Berita Harian
SUDAH tiba masanya semua pihak sama ada bank, pemaju perumahan dan kerajaan
mengurangkan beban yang ditanggung pembeli rumah yang meminjam daripada
bank.
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah melindungi pengguna atau
peminjam daripada dibebani masalah bayaran ansuran perumahan yang begitu
tinggi dalam ikatan perjanjian pinjaman selama 20 atau 30 tahun.
Adalah wajar bagi pemaju yang menjual sesebuah rumah pada harga RM100,000
mengenakan deposit 10 peratus iaitu RM10,000 dan bakinya iaitu RM90,000
dibahagikan kepada ansuran bulanan 20 atau 30 tahun tanpa mengenakan faedah
yang membebankan ke atas prinsipal pinjaman pada setiap bulan.
Selepas membayar ansuran selama 20 atau 30 tahun, bayaran yang dibuat bagi
rumah berharga RM100,000 sebenar hampir mencecah RM250,000 dan daripada
jumlah itu, RM150,000 adalah keuntungan daripada kadar faedah yang dikenakan.
Selain itu, pemaju juga mendapat keuntungan daripada jualan rumah itu
sendiri pada harga pasaran yang jauh lebih tinggi berbanding kos pembinaan
rumah.
Faedah yang dikenakan bank sepatutnya dikenakan kepada baki bulanan saja dan
juga tunggakan yang tidak berbayar, sekiranya ada. Jika adapun kadar faedah
yang sepatutnya dibayar, ia wajar hanya sejumlah peratusan ke atas prinsipal
dan bukan kepada baki pinjaman.
Dengan mengambil langkah ini, selepas 20 tahun atau 30 tahun harga ansuran
rumah yang dibayar mungkin hanya mencecah RM120,000 saja berbanding
RM250,000 dengan faedah semasa setiap bulan ke atas prinsipal dan ansuran
serta tunggakan.
Kos ini belum lagi termasuk kos tuntutan guaman ke atas tunggakan baki
pinjaman yang tidak berbayar kepada peminjam dan kos lain seperti kos
penyelenggaraan bulanan, cukai pintu, insurans perlindungan untuk perumahan
dan lain-lain lagi.
Kementerian Perumahan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Bank Negara, pemaju
perumahan dan bank yang sedia ada seharusnya sedar tindakan mengenakan
faedah ke atas baki pinjaman setiap bulan amat membebankan peminjam.
Ini menyebabkan pembeli rumah sentiasa terhimpit dengan pinjaman bank yang
mengambil keuntungan berlipat ganda.
Antara tugas perbankan adalah menghulurkan pinjaman dan mengambil kadar
faedah yang berpatutan saja dan tidak membebankan.
Sekiranya pihak perbankan boleh bertimbang rasa dan bertindak mengenakan
faedah ke atas ansuran bulanan saja, maka peminjam akan hidup dengan lebih
selesa dan lebih bersedia membayar ansuran.
Ia juga dapat mengurangkan tunggakan ansuran dan kos tuntutan guaman. Secara
tidak langsung, kuasa membeli pengguna akan dapat dipertingkatkan untuk
menjana ekonomi peruncitan dan sektor lain ekonomi.
Saya memuji langkah kerajaan dalam menangani isu perumahan dengan mengenakan
syarat supaya hanya rumah yang siap dan layak diduduki saja yang boleh
dijual kepada pembeli atau peminjam perumahan.
Jika syarat ini benar-benar dikuatkuasakan, nasib pembeli rumah lebih
terjamin dan tidak menjadi mangsa terhadap projek terbengkalai yang
membebankan ramai pembeli ketika ini apabila merela terpaksa membayar
pinjaman sedangkan rumah mereka gagal disiapkan pemaju.
Ini antara langkah yang wajar supaya setiap pembeli dilindungi hak mereka,
selain menyarankan kepada pihak bertanggungjawab untuk mengkaji kembali
sistem perbankan perumahan yang membebankan.
IRIMAZ,
Puchong Jaya, Selangor. |