Balu risau pemaju minta
RM35,000
28/02/2006
Harian Metro Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
GEORGETOWN: “Bayar segera atau tarik balik rumah,” itulah arahan sebuah
syarikat pemaju perumahan ke atas seorang ibu tunggal beranak dua selepas
diarah membayar baki pinjaman perumahan yang dibuat arwah suaminya sejak
1999.
Mahmutha Sintha Madar, 43, dari Air Itam, di sini, mendakwa arahan itu
diberikan pihak pemaju selepas mendakwa dia gagal menjelaskan baki pinjaman
berjumlah RM35,000.
Menurutnya, dia terkejut apabila menerima surat pihak pemaju yang meminta
supaya segera melangsaikan tunggakan rumah yang dibeli suaminya di Sri
Semarak Api Fasa Satu pada harga RM50,000.
Katanya, ketika membeli rumah itu, arwah suaminya yang be kerja sebagai
kakitangan kerajaan membuat pinjaman melalui Bahagian Pinjaman Perumahan dan
pihaknya sudah membayar sejumlah RM17,500 termasuk deposit dan kos ubah suai
rumah.
“Selepas suami meninggal dunia pada 2002 akibat sakit jantung saya hanya
menanti Bahagian Pinjaman Perumahan menjelaskan baki bayaran kepada pemaju
perumahan.
“Sepatutnya pembeli yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan meninggal
dunia, rumah yang dibeli secara rasmi dipindah milik terus kepada waris
pemohon tanpa apa-apa bayaran.
“Bagaimanapun, pihak pemaju tidak berurusan dengan bahagian pinjaman
sebaliknya meminta saya menjelaskan bayaran dengan segera jika tidak mahu
rumah ditarik balik,” katanya ketika ditemui, semalam.
Mahmutha berkata, sepanjang penjanjian perumahan dibuat, pihaknya sudah
membuat pembayaran dan hanya menanti rumah siap dibina dan akan terus
menduduki tanpa sebarang masalah apabila siap nanti.
Menurutnya, sehingga kini rumah itu masih belum dapat diduduki kerana masih
lagi dalam pembinaan selepas tertangguh beberapa kali dan berlaku pertukaran
pemaju beberapa kali.
Katanya, dia bimbang kerana pendapatannya tidak seberapa malah ketika ini
menyara kedua ibu bapa yang uzur.
“Sebagai ibu tunggal, saya menjadi bimbang rumah akan ditarik balik kerana
tidak dibayar sedangkan segala urusan sudah selesai,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Khas Exco Perumahan negeri, Adam Omar, berkata
masalah yang berlaku terhadap ibu tunggal berkenaan disebabkan status
terkini yang masih belum dikemas kini.
Adam berkata, masalah ini timbul apabila tiada sebarang penubuhan
jawatankuasa bertindak untuk mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju
perumahan mengikut syarat yang ditetapkan dalam perjanjian beli rumah.
Menurutnya, pihaknya sedia membantu untuk menyelesaikan masalah ini dan
meminta kerjasama pengadu untuk datang ke pejabat dan mengemukakan segala
butiran lengkap mengenai arahan pembayaran itu. |