Akta pembangunan Perumahan
dikaji
05/02/2006 Berita Harian
PULAU PINANG 4 Feb. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan
mengkaji semula Akta Pembangunan Perumahan yang mula dilaksanakan pada tahun
2002 bagi memastikan ia lebih sempurna dan berkesan.
Menterinya Datuk Seri Ong Ka Ting berkata akta itu yang telah menggantikan
Akta Pemaju Perumahan Kawalan dan Pelesenan) 1966 berkuatkuasa 1 Dis 2002
akan dibincangkan pada mesyuarat kabinet akan datang untuk dilakukan pindaan.
"Kementerian merasakan ada juga beberapa perkara yang perlu dipinda lagi di
dalam akta ini dan juga boleh diperbetulkan termasuk beberapa perubahan yang
positif akan diputuskan kemudian," katanya kepada pemberita selepas
mengadakan lawatan ke Wad Paediatrik Pusat Rawatan Gleneagles di sini hari
ini.
Mengulas mengenai kes penduduk di sebuah taman perumahan di
Selayang,Selangor yang mendakwa diberikan kunci menduduki rumah sebelum
memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF), Ong berkata kementeriannya akan
menyiasat kes itu.
Katanya mungkin proses perjanjian pembinaan kawasan perumahan itu mengikuti
akta yang lama (Akta Pemaju Perumahan) iaitu sebelum 1 Dis 2002, kerana
mengikut Akta Pembangunan
Perumahan, pemaju tidak boleh menyerahkan kunci rumah tanpa memperolehi CF
daripada pihak berkuasa tempatan.
Ong berkata jika siasatan mendapati pemaju terbabit menyalahi akta itu dan
mengambil jalan mudah dengan bertindak sedemikian, kementeriannya tidak
teragak-agak untuk menyenaraikan pemaju terbabit dan mengawal selia
projek-projek pembinaannya yang lain.
Terdahulu, Ong dan isteri, Datin Seri Wendy Ong memberikan angpau dan buah
limau kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis rumah terbuka Tahun Baru
Cina pusat rawatan itu.
Kira-kira 30 kanak-kanak kurang upaya dan menghidap penyakit jantung
diraikan pada majlis itu. - Bernama |