‘Syurga idaman’ tak seindah khabar
Berita Harian 19/12/2006 Oleh Hanneeyzah
Bariah Baharin
500 pembeli pangsapuri kos sederhana
blok F Flora Damansara kecewa sikap pemaju
TERBENGKALAI: Pangsapuri Flora Damansara di Damansara Utama
yang belum siap sepenuhnya.
PETALING JAYA: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib lebih 500
pembeli pangsapuri kos sederhana blok F, Flora Damansara, di sini, berikutan
rumah yang bakal didiami mereka didakwa dibina pemaju bagai melepas batuk di
tangga sehingga dikatakan tidak selamat diduduki.
Tidak cukup dengan itu, pemaju juga didakwa bersikap lepas tangan terhadap
permasalahan dihadapi pembeli dan enggan membayar pampasan LAD (Liquidated
and Ascertained Damages) seperti termaktub dalam perjanjian, selepas lewat
setahun menyiapkan rumah pangsa itu.
Nyata, bagi bakal penghuni kediaman berkenaan, apa yang dilakukan pemaju
terhadap mereka adalah melampau dan meledakkan kemarahan kerana sejumlah
besar wang sudah dilabur untuk memiliki `syurga idaman’.
Kakitangan swasta, Muhd Sharul Bahrain, 27, kecewa dengan sikap pemaju yang
sengaja berlengah dan sukar bekerjasama untuk berunding dengan pembeli bagi
menyelesaikan masalah dihadapi.
Katanya, apa yang mengecewakan, pemaju enggan membayar penuh LAD yang
sepatutnya diperoleh pembeli, sebaliknya bertegas untuk membayar hanya 50
peratus daripada jumlah pampasan dan melunaskan dalam tempoh panjang.
“Rumah
dibeli berharga ratusan ribu, tetapi tidak memuaskan hati. Mereka pula (pemaju)
tidak mahu membayar pampasan 100 peratus seperti yang termaktub dalam surat
perjanjian jual beli rumah.
“Sebelum ini, pembeli terpaksa menanggung pelbagai penalti kerana kelewatan
bank membuat bayaran kepada mereka, tetapi apabila mereka yang lewat, mereka
tidak mahu jelaskan semua hak kami.
“Kami juga tidak faham bagaimana mereka boleh serahkan sijil layak menduduki
dan kunci rumah kepada kami, sedangkan keadaan rumah dan kemudahan di situ
amat mengecewakan dan belum siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui.
Pembeli pangsapuri berkenaan baru-baru ini mengunjungi pejabat pemaju
hartanah itu untuk mendapatkan penjelasan seperti dijanjikan pegawainya
sebelum itu, tetapi kecewa kerana pemaju membatalkan niat untuk hadir
bertemu pembeli.
Bagaimanapun, Adun Bukit Lanjan, Yong Dai Ying yang hadir pada pertemuan itu
menghubungi pegawai berkenaan sehingga pegawai itu menyatakan persetujuan
untuk mengadakan pertemuan lain.
TAK
PUAS HATI:
Yong (kiri) mendengar
masalah pembeli
pangsapuri Flora Damansara
di Damansara Utama.
Sementara itu, Eksekutif Bank, Rohaini Jaafar, 29, berkata pembeli takut
untuk mendiami rumah masing-masing kerana bimbang keselamatan keluarga
apatah lagi sebahagian bangunan belum siap sepenuhnya dan masih dalam
pembinaan.
“Bayangkan tempat letak kereta seolah-olah tergantung. Mereka hanya
meletakkan zink sebagai dinding sementara bagi menutup tempat letak kereta
yang belum siap. Kawasan itu juga sentiasa ditakungi air dan kami bimbang ia
akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Selain itu, kemudahan seperti lif dan lampu awam juga tidak berfungsi.
Malah, penduduk terpaksa bertarung nyawa melalui tangga yang dibina tidak
sempurna dan boleh membahayakan keselamatan,” katanya.
Tinjauan Sentral ke pangsapuri berkenaan mendapati keadaannya seperti tidak
terurus dan binaannya juga tidak memuaskan. Pemaju juga seolah-olah
mengabaikan soal keselamatan penduduk blok berhampiran yang sebahagian besar
sudah mendiami kediaman masing-masing.
Seorang pembeli, Roslina Tanwir, 30, turut membawa Sentral melawat ke
rumahnya yang belum didiami, tetapi sudah mengalami banyak kerosakan
antaranya saluran tersumbat menyebabkan air bertakung dan kabinet dapur yang
tidak elok.
PECAH: Roslina menunjukkan saluran paip bocor
dan kabinet dapur rosak.
“Saya kecewa melihat rumah dibeli begini rupa. Saya membeli rumah ini dengan
harga RM100,000 dan memilih pakej ubah suai dengan tambahan RM15,000 untuk
melayakkan pembeli menerima set kabinet dapur pasang siap, dinding berjubin
dan jeriji. Tetapi lihatlah keadaan rumah saya ini.
“Saya fikir pemaju menggunakan jeriji berkualiti rendah yang dipasang pada
bahagian tingkap dan beranda, sedangkan di pintu utama tidak ada. Jika
dinilai, kabinet dapur ini berharga tidak sampai RM8,000, sedangkan apa yang
kami bayar lebih daripada itu,” katanya.
Sementara itu, Yong berkata, pihaknya akan membantu pembeli menyelesaikan
masalah itu dan berharap pemaju lebih bertanggungjawab.
|