Remaja maut jatuh tangga
19/12/2006 HM Oleh Mohamad Hussin
RAWANG: “Kejadian ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas tangki air
rumah roboh hingga menyebabkan tangga runtuh, dua minggu selepas itu anak
saya pula yang terkorban selepas tergelincir ketika turun dari tangga kayu
sebagai alternatif ke tingkat bawah.
“Saya kesal kerana pemaju tak siapkan pembinaan tangga yang runtuh itu,
sebaliknya hanya membaiki tangki air dengan alasan tiada peralatan mencukupi
untuk membina semula tangga baru,“ kata Abdul Rahman Ahmad, 42, pemilik
rumah di Green Valley Park, Bandar Tasik Puteri di sini,
Dalam kejadian Sabtu lalu, anak sulungnya Amirull Azwan, 15, koma selepas
tergelincir ketika turun dari rumah teres dua tingkat menggunakan tangga
kayu sementara yang diberikan pemaju.
Amirull Azwan, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar
Tasik Puteri dan sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Abdul Rahman berkata, pada jam 8 pagi, 26 November lalu, tangki air di atas
siling runtuh menyebabkan tangganya pecah dan seluruh rumahnya digenangi
air.
“Saya bersyukur kerana ketika kejadian tiada siapa di rumah. Kalau tidak,
saya tak tahulah nasib yang menimpa keluarga kami. Sehari selepas kejadian,
saya membuat aduan kepada pemaju supaya membaiki semula kerosakan tangki dan
tangga rumah.
“Pada 27 November, pemaju datang membaiki kerosakan siling dan mengganti
semula tangki air yang pecah itu. Kontraktor terbabit menggunakan tangga
kayu sebagai alternatif untuk ke tingkat atas.
Menurutnya, dia bertanyakan kepada pemaju mengenai tangga baru tetapi
terkejut kerana diberitahu mereka tidak mempunyai peralatan mencukupi untuk
membaiki semula tangga rosak itu.
Berikutan kejadian itu, keluarga berkenaan terpaksa menggunakan tangga kayu
sebagai alternatif untuk turun naik rumah berkenaan.
Kira-kira jam 4.30 petang Sabtu lalu, Amirull Azwan yang turun menggunakan
tangga kayu tergelincir menyebabkan dia terjatuh ke lantai.
“Kebetulan isteri saya, Siti Hazar Salam, 37, berada di rumah dan membawa
anak kami ke klinik untuk mendapatkan rawatan kecemasan, bagaimanapun doktor
mengarahkan supaya dihantar ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan di
Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana kecederaan serius di kepala.
“Anak saya diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL dan disahkan meninggal
dunia pada jam 4.25 petang semalam,” katanya dengan nada sebak.
Jenazah Amirull Azwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar
Country Homes di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Abdul Rahman turut membuat laporan di Balai Polis Batu Arang berhubung
kejadian itu.
|