Pemilik unit Riviera dapat hak
milik
Berita Harian 27/12/2006
CHERAS: Penantian selama 16 tahun pemilik unit Apartmen Riviera, Taman Muda
di sini, untuk mendapatkan hak milik strata berakhir apabila mereka dijangka
memperolehinya dalam masa terdekat.
Bagaimanapun berita baik itu hanya dapat dinikmati oleh pemilik rumah yang
membayar yuran penyelenggaraan kepada pemaju perumahan setiap bulan sejak
menduduki premis itu pada 1990.
Sentral difahamkan, pemaju tidak akan menyerahkan hak milik berkenaan kepada
pemilik yang enggan membayar tunggakan yuran yang kini berjumlah kira-kira
RM200,000.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Keat, berkata ketiadaan hak milik strata
menyulitkan pemilik rumah dalam banyak urusan hartanah seperti penjualan dan
pertukaran nama.
“Pemilik rumah juga tidak dapat menubuhkan perbadanan pengurusan bagi
mengurus penyelenggaraan kawasan apartmen selain mencari sumber kewangan
untuk digunakan demi kepentingan penduduk,” katanya ketika ditemui, di sini,
semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menasihatkan pemilik
rumah terbabit menjelaskan tunggakan yuran berkenaan supaya tidak berhadapan
masalah pada masa hadapan.
“Ada penduduk memberitahu, mereka enggan membayar yuran itu kerana pemaju
tidak menyelia kawasan apartmen, sedangkan pemaju pula berkata mereka tidak
melakukan penyelenggaraan kerana penduduk tidak membuat bayaran. Perkara ini
tidak akan selesai begini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Riviera, Peter Lim, berkata
keadaan apartmen empat blok dengan 320 unit rumah itu kini tidak terurus
kerana pihak pemaju enggan melakukan kerja penyelenggaraan selagi tunggakan
belum dijelaskan.
“Antara masalah yang kami hadapi adalah penutup saluran pembuangan sampah
yang rosak di kebanyakan tingkat bangunan menyebabkan penduduk menghidu bau
busuk dan tidak selesa setiap hari.
“Selain itu, ada sesetengah palang penghadang di koridor yang sudah patah
tidak dibaiki. Ia membahayakan penduduk terutama kanak-kanak yang bermain
atau berjalan di sepanjang koridor itu,” katanya.
Beliau berharap semua pemilik menjelaskan tunggakan secepat mungkin supaya
mereka dapat menubuhkan perbadanan pengurusan sendiri untuk menyelenggara
kawasan apartmen itu. |