Panik rumah bergoyang
Harian Metro 02/12/2006 Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
GEORGETOWN: “Saya panik seketika apabila berasa rumah bergoyang manakala
kepala pula tiba-tiba menjadi pening,” kata seorang suri rumah, Jamilah
Ibrahim yang merasai gegaran gempa bumi, di sini, semalam.
Gegaran kurang satu minit itu dirasai penduduk di negeri ini terutama mereka
yang menghuni bangunan tinggi dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.
Antara bangunan tinggi yang merasai gegaran itu ialah bangunan Tun Abdul
Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat kerajaan dan kompleks beli-belah,
Menara Northam dan beberapa pangsapuri dan rumah pangsa.
Jamilah, 30, yang tinggal di Pangsapuri Pelangi, Lebuh Macallum, di sini,
berkata semasa gegaran berlaku, dia bersama dua rakannya berada di dalam
rumah sambil berbual dan menikmati makan tengah hari.
Menurutnya, pada mulanya, dia terkejut apabila secara tiba-tiba kepala
menjadi pening dan rumah seperti bergoyang lalu bertanyakan pada rakannya
sama ada menyedari kejadian itu.
Katanya, dia yang juga ibu kepada dua anak berusia dua tahun merasai gegaran
itu lalu terus menghubungi suami yang berada di tempat kerja bagi
memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
“Pada mulanya, saya panik dan terus bertindak mengemas baju anak-anak untuk
membawa mereka ke tempat kerja suami tetapi membatalkan hasrat selepas
dimaklumkan suami bahawa keadaan sudah selamat,” katanya.
Sementara itu, penduduk lain, Afiza Ahmad, 27, berkata dia berasa rumahnya
mengalami gegaran ketika sedang makan tengah hari tetapi tidak menyangka
kejadian itu adalah gempa bumi.
Menurutnya, pada mulanya, dia tidak mengendahkan gegaran berkenaan tetapi
selepas dimaklumkan mungkin berlaku gempa bumi menyebabkannya menghabiskan
makan untuk bersiap sekiranya perlu.
Gegaran berkenaan dipercayai berlaku berikutan kejadian gempa bumi berukuran
6.6 pada skala Ritcher yang berlaku di Sumatera Utara, Indonesia pada jam
11.58 pagi waktu Malaysia, semalam.
Pengarah Jabatan Meterologi negeri, S Santira, berkata gegaran berlaku
akibat kejadian gempa bumi, kira-kira 35 kilometer (km) dari tenggara Medan,
Sumatera, Indonesia dan 267 km dari Barat Daya Bayan Lepas, di sini.
Menurutnya, gegaran berkenaan berlaku hampir seminit dan turut dirasai di
beberapa bangunan tinggi di negeri ini kerana kedudukannya yang terletak
berhampiran utara Sumatera.
Katanya, pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang ramai dan
menasihatkan mereka supaya tidak bimbang kerana gempa bumi itu tidak akan
menyebabkan berlaku ombak tsunami.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana gegaran itu tidak menyebabkan
tsunami kerana kita tidak menerima amaran atau isyarat mengenainya,” katanya
ketika dihubungi, semalam. |