Keluarga mahu saman pemaju
Berita Harian 22/12/2006 Oleh Mohd Azis Ngah
Ibu bapa remaja meninggal dunia selepas koma akibat jatuh tangga di Bandar
Tasek Puteri ambil khidmat peguam
RAWANG: Keluarga remaja malang yang meninggal dunia selepas tiga hari koma
akibat terjatuh daripada tangga rumahnya di Bandar Tasik Puteri di sini
bercadang mendakwa pemaju berikutan kejadian tangki air runtuh dan
meranapkan tangga rumah mereka.
Kejadian di Jalan Hijau 2/2 Green Valley Park, Bandar Tasik Puteri itu
mengakibatkan laluan ke tingkat atas rumah milik Abdul Rahman Ahmad, 42,
terputus dan mereka hanya menggunakan tangga kayu mudah alih yang disediakan
kontraktor.
Dalam kejadian Sabtu lalu, anak sulung Abdul Ramman, Amirull Azwan, 15,
terjatuh daripada tangga kayu itu dan mengalami keretakan di kepala
mengakibatkan beliau koma sebelum meninggal dunia jam 4.30 petang, kelmarin.
Rumah teres dua tingkat milik Abdul Rahman itu rosak teruk selepas kayu
lantai tangki air yang mampu mengisi air sehingga 250 gelen patah
mengakibatkan tangki jatuh menghempap tangga asal rumahnya.
Abdul Rahman berkata, sebahagian tangga asal rumahnya runtuh dan kejadian
itu sudah dimaklumkan kepada pemaju tetapi beliau kesal dengan sikap tidak
bertanggungjawab pemaju yang gagal membaik pulih sepenuhnya rumah mereka.
“Mereka hanya datang membaiki tangki air tetapi tidak membaik pulih tangga
rumah dengan alasan tempoh jaminan menduduki rumah sudah tamat dan mereka
juga tidak mempunyai bahan untuk membaiki tangga.
“Saya juga diminta membayar RM150 untuk kerja membaiki tangki, sedangkan ia
bukan masalah kami kerana difahamkan kayu lantai itu tidak bermutu, mudah
reput. Saya akan membayar jika mereka baik pulih sekali tangga rumah.
“Tetapi malangnya, kami tidak sempat berbuat apa-apa kerana anak saya sudah
menjadi mangsa. Sepatutnya isu ini boleh diselesaikan sejak sebulan lalu
kerana tangki air itu runtuh pada 26 November, tetapi mereka tidak buat
apa-apa tindakan susulan,” katanya.
Sehari selepas tangki air pecah, kontraktor pemaju datang ke rumah mangsa
dan membaiki semula tangki air mereka.
Abdul Rahman berkata, beliau akan menyerahkan isu itu kepada pihak yang
pakar dengan undang-undang sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Kami hanya mahu hak kami. Nyawa anak saya bukan ada nilai yang boleh
ditukar ganti tetapi kami mahu pembelaan sewajarnya. Sebagai pembeli rumah,
kami mahu hak kami yang setimpal, pemaju boleh dapat untung juta-juta tetapi
nasib kami diabaikan.
“Kalau ada undang-undang yang membela pemaju, kami juga ada hak kami. Kalau
rumah saya boleh runtuh kerana masalah kayu reput, tidak mustahil rumah
jiran saya pun mengalami masalah sama,” katanya.
Beliau yang tinggal di situ sejak 2002 berkata, anaknya, pelajar tingkatan
tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, di sini dikatakan
tergelincir sebelum jatuh pada ketinggian dianggarkan 10 meter.
Ketika kejadian, isterinya, Siti Hazar Salam, 37, bersama tiga lagi anaknya
berada di rumah dan terus menghantar Amirull ke Hospital Selayang sebelum
dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat pendarahan teruk di kepala.
Jenazah Amirull selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country
Homes di sini kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.
|