Datuk dalang tipu RM10 juta
Harian Metro 02/12/2006 Oleh Nazarali Saeril dan Hadzlihady Hassan
KUALA LUMPUR: Gelap mata dengan nilai hartanah mencecah RM10 juta bagi
sekeping tanah sekangkang kera berhampiran pusat beli-belah Mid Valley,
seorang Datuk membuat rancangan menipu dengan mendapatkan geran tanah
berkenaan yang bukan miliknya sebelum menjualnya.
Datuk terbabit berpakat dengan beberapa individu lain sebelum seorang
daripada mereka ditugaskan ke Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan serta
memohon geran tanah baru di lokasi strategik berkenaan dengan alasan dokumen
asal hilang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Aris Ramli, berkata pihak
pejabat tanah terbabit tanpa banyak soal terus meluluskan permohonan geran
baru.
“ Dengan geran baru itu, Datuk terbabit serta konco-konconya mendapat hak
mutlak pemilikan lot tanah seluas kira-kira satu ekar (0.4 hektar) sebelum
dijual kepada ahli perniagaan lain.
“Hasil jualan haram itu, mereka memperolehi RM10 juta dan dibahagikan sesama
sendiri sebelum menyembunyikan diri bagi mengelak perbuatan terbabit
diketahui pembeli serta pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di IPK Kuala
Lumpur di sini, semalam.
Sebelum itu, Datuk terbabit dikatakan bertugas mencari bakal pembeli sebelum
menunjukkan lokasi lot tanah berkenaan untuk dinilai sebagai kawasan
perniagaan.
Mangsa pula yang puas hati dengan tawaran RM10 juta tidak berfikir panjang
dan terus bersetuju memandangkan pulangan lumayan bakal diperoleh jika
projek pembinaan premis perniagaan disiapkan mengikut jadual.
“Bagaimanapun, penipuan itu tidak kekal apabila pembeli membuat laporan
polis selepas pemilik sebenar lot tanah berkenaan mengatakan dia tidak
pernah menjual tanah terbabit.
“Pemilik sebenar turut menunjukkan geran tanah berkenaan dan pemeriksaan
mengesahkan ia tulen. Polis kemudian melancarkan operasi memburu Datuk
terbabit serta konconya itu sebelum menahan seorang lelaki,” katanya.
Siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai maklumat penting mengenai urus
niaga itu dan dia kemudian didakwa di mahkamah sebelum dibebaskan dengan
jaminan.
Bagaimanapun, lelaki terbabit gagal menghadirkan diri di mahkamah dalam
perbicaraan pada 31 Oktober lalu.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang
dikenali sebagai P Selvarajah, 51, nombor kad pengenalan 550330-05-5087
serta beralamat terakhir di No 52, Jalan Sentul Pasar di sini, untuk
membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPK
Kuala Lumpur di talian 03-21460584 atau Rakan Cop di 03-21159999.
Polis juga meminta tiga saksi menyerah diri untuk membantu siasatan kes
penipuan pemindahan hak milik tanah membabitkan kerugian RM80,000 di Johor,
tiga tahun lalu.
Mereka adalah Tan See Siong, 37, dan Tan Beng Chun, 40, beralamat terakhir
di Nombor 8, Jalan Mutiara 8, Taman Mutiara, Segamat serta Yong Chong Lum,
41, yang tinggal di Nombor 118, Jalan Nakhoda 12, Taman Ungku Tun Aminah,
Skudai. |