This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bantu ahli koperasi miliki rumah sendiri
07/12/2006 HM Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

MEMILIKI rumah sendiri idaman setiap orang, tetapi bukan semua mampu terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Atas kesedaran itu, syarikat pemaju perumahan, Ikhtiar Niaga Bena Sdn Bhd (Kumpulan INB) dengan kerjasama Risda dan Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPK) menjalankan projek Pembangunan Perumahan Era Moden Koperasi Malaysia.

Ia projek usahasama bersama koperasi yang berdaftar dengan JPK di seluruh negara.

Projek itu membolehkan ahli koperasi yang juga golongan berpendapatan rendah dan sederhana, memiliki rumah selesa dan cantik pada harga serendah RM40,000.

Bagi mereka yang mahu memiliki rumah melalui projek itu tetapi bukan ahli koperasi, mereka boleh berbuat demikian tetapi dengan syarat perlu menjadi ahli koperasi berdaftar terlebih dulu dan mempunyai tanah sendiri untuk pembinaan rumah.

Pengurus Kumpulan INB, Abdul Rahim Abdul Kudus berkata, projek itu dijalankan bertujuan membolehkan ahli koperasi mempunyai rumah sendiri yang selesa seterusnya membantu menghidup dan mengaktifkan koperasi.

Katanya, melalui kajian yang dijalankan pihaknya, 30 peratus daripada ahli koperasi masih tidak memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, projek itu menggunakan konsep bina dan bayar. Ia bermakna ahli koperasi yang berminat memiliki rumah melalui projek berkenaan tidak perlu membayar sesen pun sepanjang pembinaan dan hanya membayar selepas rumah itu siap dan boleh didiami.

“Rumah yang dibina juga akan siap dalam tempoh empat minggu dan selepas itu ahli koperasi perlu menjelaskan bayaran pada pihak bank.

“Kami mempunyai dua reka bentuk rumah yang sudah ditetapkan iaitu berkeluasan 800 kaki per segi (kps) dan 1020 kps. Ahli koperasi boleh memilih daripada dua bentuk ini yang pembinaannya akan dilaksanakan kontraktor yang dilantik,” katanya baru-baru ini.

Abdul Rahim berkata, rumah yang dibina mempunyai reka bentuk menarik ala banglo setingkat, mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, sistem kumbahan dan sistem perparitan.

“Rumah yang berkeluasan 800 kps dijual pada harga RM40,000 manakala yang berkeluasan 1020 kps dijual pada harga RM48,000 sebuah. Apa yang lebih menarik, tiada bayaran deposit dikenakan dan ahli koperasi yang berminat hanya perlu membayar 50 sen untuk pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata, ahli koperasi juga akan mendapat pinjaman sehingga 100 peratus dan tidak perlu menjelaskan yuran guaman.

Ahli koperasi yang berminat boleh membuat permohonan melalui koperasi masing-masing. Dokumen yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan, salinan geran tanah, salinan slip gaji terkini (tiga bulan), surat pengesahan majikan dan surat pengesahan dari koperasi, penyata KWSP terkini dan Borang EA/EC.

Abdul Rahim berkata, setakat ini sebanyak 4,771 koperasi yang sudah berdaftar dengan JPK dan pihaknya mensasarkan sebanyak tiga peratus daripada 5.5 juta ahli koperasi menyertai projek berkenaan.

“Ini adalah projek jangka panjang dan kami mensasarkan pembinaan 165,000 rumah untuk ahli koperasi dalam tempoh 10 tahun. Setakat ini, sejak projek ini dimulakan tahun lalu, kami sudah bina 18 unit rumah contoh di Pahang,” katanya.

Tip Pinjaman 100 peratus tanpa yuran guaman

- Bagi ahli koperasi yang berdaftar dengan JPK, mereka kini mampu memiliki rumah sendiri pada harga serendah RM40,000.

- Syaratnya adalah mereka mempunyai tanah sendiri untuk pembinaan rumah.

- Ahli koperasi juga akan mendapat pinjaman sehingga 100 peratus dan tidak perlu menjelaskan yuran guaman. Bayaran pendaftaran hanya 50 sen.

- Projek itu menggunakan konsep bina dan bayar. Ia bermakna ahli koperasi yang berminat memiliki rumah melalui projek berkenaan tidak perlu membayar sesen pun sepanjang pembinaan dan hanya membayar selepas mereka berpindah masuk.

- Rumah yang dibina juga akan siap dalam tempoh empat minggu dan selepas itu ahli koperasi perlu menjelaskan bayaran pada pihak bank.

- Ada dua reka bentuk rumah yang ditetapkan iaitu berkeluasan 800 kaki per segi (kps) dan 1020 kps. Ahli koperasi boleh memilih dari dua bentuk ini .

- Ahli koperasi yang berminat boleh membuat permohonan melalui koperasi masing-masing. Dokumen yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan, salinan geran tanah, salinan slip gaji terkini (tiga bulan), surat pengesahan majikan dan surat pengesahan dari koperasi, penyata KWSP terkini dan Borang EA/EC.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.