Masalah CF bakal selesai
Harian Metro 29/11/2006 Oleh Manan Samad
PUTRAJAYA: Masalah kelewatan mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) yang
membelenggu ramai pembeli hartanah terutama rumah kediaman dijangka selesai
pada pertengahan 2008 selepas Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC)
dilaksanakan di seluruh negara.
Ini kerana, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan semalam
memutuskan tiga kementerian akan membentangkan rang undang-undang, meminda
lima akta sedia ada dan satu undang-undang kecil dalam sesi Parlimen bulan
depan bagi membolehkan sistem CCC dilaksanakan sepenuhnya.
Antara akta dipinda ialah Akta Parit, Jalan dan Bangunan, Akta Pemajuan
Perumahan dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam di bawah Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Akta Arkitek 1967 dan Akta Pendaftaran
Jurutera 1967 (pindaan 2002), di bawah Kementerian Kerja Raya serta Akta Hak
Milik Strata 1985 di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata CCC berkuat kuasa
seawal-awalnya dalam 18 bulan selepas semua akta itu diluluskan Parlimen dan
ditandatangani Yang di-Pertuan Agong serta diwartakan Jabatan Peguam Negara.
“Untuk melaksanakan dengan berkesan, kerajaan negeri diingatkan supaya semua
syarat bukan teknikal seperti kuota Bumiputera dan kuota rumah kos rendah
diputuskan sebelum pelan bangunan diluluskan.
“Ini supaya tidak dikaitkan CCC dengan aspek bukan teknikal,” katanya
selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaaan mengenai Kerajaan
Tempatan ke-56, semalam.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Bagaimanapun, kata Najib, sistem CF boleh digunakan pihak berkuasa tempatan
(PBT) bagi projek yang diluluskan dalam tempoh menunggu tarikh undang-undang
itu diwartakan, selain projek terbengkalai.
Mengikut sistem CCC, PBT berkuasa meluluskan pelan bangunan manakala CCC
dikeluarkan arkitek atau jurutera profesional selepas bangunan itu siap dan
selamat didiami. |