25 penghuni pangsapuri tinggal
sehelai sepinggang
Utusan Malaysia 03/11/2006 Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM 2 Nov. – Sebanyak 25 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila
tujuh unit kediaman mereka yang terletak di tingkat 5, pangsapuri blok 4,
Jalan Kancil, Seksyen 20 di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Turut terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu ialah dua lagi
unit pangsapuri yang terbakar di bahagian bumbung, siling dan sebahagian
rumah.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana penghuni di unit
yang terbakar sempat menyelamatkan diri dan ada yang tiada di rumah kerana
bekerja.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Fuzi
Mohd. Tabot berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 10.53
pagi dan empat jentera bersama 28 anggota serta enam pegawai dikejarkan ke
tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba dari Balai
Bomba Bukit Jelutong dan Shah Alam terus melakukan kerja mencari dan
menyelamat selain memadamkan api kerana pada mulanya pihak bomba mendapat
maklumat ada mangsa terperangkap.
‘‘Setelah usaha mencari dan menyelamat dijalankan didapati tiada mangsa yang
terperangkap atau tercedera dan api dapat dikawal dari merebak kira-kira
pukul 11.25 pagi.
‘‘Kebakaran berjaya dipadamkan keseluruhannya pada pukul 12.25 tengah hari,”
kata beliau.
Menurut Mohd. Fuzi, pihaknya kini sedang menyiasat punca kebakaran dan
jumlah kerugian kesemua mangsa yang terlibat.
Tambah beliau, pemeriksaan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati unit-unit
pangsapuri lain yang tidak terlibat dalam kebakaran di bangunan yang sama
selamat untuk diduduki.
Sementara itu, salah seorang penghuni di unit pangsapuri bersebelahan dengan
unit yang terbakar, Mohd. Sopirol Salleh, 30, berjaya menyelamatkan dua
kanak-kanak yang terperangkap dalam kebakaran.
Menurut Mohd. Sapirol, dia yang keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri
setelah melihat asap berkepul-kepul melalui tingkap, ternampak dua
kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Haikal, 5, dan Syuhada, 2, sedang
baring di ruang tamu pangsapuri berdekatan dengan pintu yang terbuka tetapi
grilnya berkunci.
‘‘Saya menjerit memanggil kedua-dua beradik itu yang salah seorangnya (Haikal)
sedang menonton televisyen dan seorang lagi sedang tidur.
‘‘Ketika itu datang seorang kanak-kanak yang tinggal di unit berdekatan
memberi kunci rumah kepada saya dan saya terus membuka gril sebelum membawa
keluar kedua-dua beradik itu,” katanya yang merupakan seorang pekerja kilang
di Seksyen 16 di sini.
Katanya, dia terus menyerahkan mereka (dua beradik itu) kepada jiran-jiran
lain kerana ketika itu dia sedang mendokong anaknya, Nursufiliah, 13 bulan.
Sementara itu, difahamkan, bapa kepada dua beradik itu keluar sebentar untuk
menghantar tiga lagi anaknya ke sekolah.
Lelaki itu dikatakan meninggalkan kunci rumah kepada jiran berdekatan
sebelum keluar supaya keluarga itu boleh menjaga sementara anak-anaknya. |