IPOH - Musim hujan yang berterusan dipercayai menjadi punca kepada enam buah
rumah teres dua tingkat yang runtuh secara tiba-tiba di Taman Pusing Indah,
kira-kira 30 kilometer dari sini, pukul 4 petang semalam.
Tidak ada mangsa yang cedera atau terperangkap dalam kejadian itu kerana
semua penghuninya belum pulang dari tempat kerja masing-masing.
Bagaimanapun semua harta benda rosak kerana runtuhan tanah itu telah
memusnahkan sama sekali rumah terbabit.
Dalam pada itu, perhubungan ke kawasan bekernaan juga terputus apabila
beberapa batang jalan menghala ke kawasan itu turut merekah mendap.
Kerja-kerja mengalihkan runtuhan tanah itu turut tergendala berikutan
masalah itu dan hujan lebat yang belum reda.
Kebanyakan rumah yang ranap itu membabitkan dua barisan rumah di bahagian
hujung taman berkenaan terletak di kawasan tebing bukit yang curam.
Menurut jurucakap polis, kejadian itu berlaku dalam jangka masa dua hingga
tiga minit sahaja.
"Kejadian ini mungkin disebabkan keadaan muka bumi sekitarnya yang lembap
disebabkan hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu sehinggalah ke
hari ini," katanya.
Seorang jurucakap Jabatan Mineral dan Geologi berkata, kejadian tanah runtuh
di kawasan itu mengkin akan berlaku lagi sekiranya hujan terus turun dan
akan mengakibatkan kemusnahan harta-benda yang lebih besar.
Sementara itu, sepasukan enam anggota bomba turut dikejar ke tempat kejadian
untuk membantu penduduk berhampiran.
Semua penduduk berhampiran telah mengosongkan rumah mereka dan berpindah.