| Tanah runtuh, 3 rumah musnah
    Mingguan Malaysia 08/01/2006
 
 IPOH 7 Jan. -Sebanyak 15 buah rumah di Taman Pusing lndah di sini diarah 
    supaya segera dikosongkan berikutan kejadian tanah runtuh yang memusnahkan 
    tiga rumah di kawasan itu semalam.
 
 Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata, arahan itu 
    bagaimanapun membabitkan pemindahan tiga buah keluarga sahaja kerana semua 
    rumah yang lain tidak berpenghuni.
 
 "Tiga keluarga terbabit dipindahkan sementara ke sebuah kuarters kerajaan di 
    Batu Gajah sementara tapak rumah yang sesuai sebagai ganti dikenal pasti," 
    katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian tanah runtuh itu di 
    Taman Pusing lndah di sini hari ini.
 
 Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tronoh, Datuk Lee Koon Yin.
 
 Dalam kejadian semalam, tiga buah rumah musnah dan dua rumah yang terletak 
    di tebing bukit setinggi kira-kira 50 meter runtuh pada kira-kira pukul 4 
    petang.
 
 Hanya sebuah daripada rumah berkenaan berpenghuni tetapi semasa kejadian 
    penghuninya tidak berada di rumah. Taman perumahan yang mempunyai 140 buah 
    rumah itu hanya didiami oleh 28 keluarga.
 
 Tinjauan mendapati tanah-tanah di kawasan itu dihanyutkan berpuluh-puluh 
    meter ke bawah disebabkan terdapat aliran air di kawasan berkenaan.
 
 Ketika ditanya mengenai punca kejadian itu, beliau berkata siasatan awal 
    mendapati ia adalah akibat hakisan tanah berikutan hujan lebat.
 
 "Jalan raya dan kawasan yang runtuh itu tidak boleh dipulihkan dan usaha 
    sedang dijalankan bagi memastikan rumah-rumah lain di taman perumahan itu 
    selamat diduduki," katanya.
 
 Tajol Rosli berkata, taman perumahan itu sebenarnya memang projek bermasalah 
    dan beberapa kejadian tanah runtuh telah berlaku sejak ia disiapkan tahun 
    lalu.
 
 Katanya, projek itu sebenarnya tidak mendapat Sijil Layak Menduduki dari 
    Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) selama lapan tahun dan hanya dua tahun 
    lepas ia diluluskan selepas didesak oleh pemaju, pembeli dan pemimpin 
    politik.
 
 Beliau berkata, MDKB yang kurang yakin dengan keadaan tanah berbukit dan 
    dikelilingi bekas lombong itu pernah mencadangkan kawasan tersebut 
    dibangunkan dengan rumah-rumah banglo.
 
 Menurutnya, projek perumahan itu terletak di kawasan yang memang dikenal 
    pasti sering berlaku kejadian tanah jerlus dan peraturan ketat dikenakan 
    oleh pihak berkuasa bagi permohonan projek di situ dan juga di Lahat, 
    Menglembu dan Batu Gajah.
 
 "Bagaimanapun jika kita terlalu ketat, kerajaan negeri didakwa tidak mesra 
    perniagaan dan dalam kes ini pemaju telah mengemukakan kajian oleh perunding, 
    jurutera dan arkitek yang mengesahkan ia selamat," katanya.
 |