| Taman Serosa perlu sokongan 
    pembeli  Utusan Malaysia 4/1/2006
 KAJANG 3 Jan. - Beberapa pembeli rumah terbengkalai di Taman Serosa di sini 
    menggesa 108 rakan pembeli di situ supaya tampil untuk menandatangani surat 
    perjanjian dengan pemaju baru yang bersetuju bagi meneruskan projek tersebut 
    sebelum 15 Januari ini.
 
 Projek perumahan di tanah seluas kira-kira 3.15 hektar itu dimulakan pada 
    Disember 1998 merangkumi 240 rumah kos sederhana, 63 unit teres dua tingkat 
    dan 110 unit rumah kos rendah.
 
 Daripada 413 unit kediaman di situ, 108 daripadanya telah dijual kepada 
    pembeli yang  menandatangani perjanjian antara tempoh 1998 hingga 2000.
 
 Projek yang dijangka siap pada 2001 itu bagaimanapun terus terbengkalai 
    sehingga kini malah  sebahagiannya langsung tidak sempat dibina.
 
 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak yang jugak pembeli unit teres berkenaan, 
    Hussin Saimin,  39, berkata, selepas mendapati pihak pemaju Serosa 
    Resources Sdn. Bhd. gagal menepati janji, pelbagai usaha telah dibuat 
    bersama pembeli untuk meneruskan projek ini.
 
 "Hasilnya, mahkamah telah memutuskan dengan melantik pemaju baru, Cahaya 
    Maha Gaya Sdn. Bhd. untuk menyiapkan projek ini," katanya kepada Utusan 
    Malaysia di sini semalam.
 
 Tambahnya, Cahaya Maha Gaya telah menetapkan syarat, perlu menandatangani 
    sekurang-kurangnya 75 peratus persetujuan pembeli tersebut untuk 
    menandatangani surat perjanjian baru.
 
 "Setakat ini, kira-kira 60 peratus pembeli telah tampil dan pemaju perlukan 
    sekurang-kurangnya 15 tandatangan lagi sebelum projek ini boleh dimulakan," 
    katanya.
 
 Justeru beliau berharap pembeli berkenaan dapat tampil dengan segera, kerana 
    pemaju hanya perlukan tandatangan mereka sebelum memulakan semula projek 
    tersebut.
 
 "Pembeli berkenaan boleh menghubungi saya (Hussin) menerusi telefon 
    012-6530807 atau 019-3635867 (Zuraidah Othman) dengan segera untuk 
    keterangan lanjut," katanya.
 
 Sementara itu seorang pembeli unit kos rendah, Abu Bakar Awaludin, 50, 
    berkata rumahnya yang dibeli pada 1998 bukan sahaja terbengkalai, tetapi 
    juga unitnya 'bertindih' pemilik apabila ia turut dijual kepada pembeli lain 
    pada tahun 2000.
 
 "Saya tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku tetapi akan selesaikan perkara 
    ini kerana saya telah menghabiskan sebanyak RM15,750 untuk pelbagai urusan," 
    katanya.
 
 Seorang juruteknik, Yusalini Alias, 33, berkata, beliau gembira kerana 
    pelaburannya sebanyak RM15,000 tidak sia-sia apabila pemaju baru akan 
    meneruskan projek perumahan terbengkalai itu.
 
 "Saya lega, tetapi berharap lebih ramai pembeli terlibat supaya dapat tampil 
    bagi menandatangani perjanjian baru agar projek ini dapat dilaksanakan 
    secepat mungkin," katanya.
 
 Tambahnya, pemaju baru menetapkan pembeli supaya membayar peratusan hutang 
    yang belum dibayar dan menyerap bayaran yang telah dijelaskan kepada pemaju 
    terdahulu.
 
 "Saya hanya perlu menjelaskan hutang lagi 80 peratus kerana telah 
    menjelaskan deposit 20 peratus yang pada pemaju sebelum ini," katanya.
 
 Para pembeli berkenaan turut membuat aduan kepada Ahli Parlimen Serdang, 
    Datuk Yap Pian Hon
 di Dewan Sebaguna Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam bagi menggesa 
    rakan pembeli lain
 agar tampil menyokong usaha memulihkan projek rumah terbengkalai itu.
 
 Menurut Pian Hon, projek itu kini hanya perlu memenuhi syarat yang 
    ditetapkan pemaju sebelum ini menjual rumah teres dua tingkat di situ pada 
    berharga RM35,000 seunit bagi rumah kos rendah dan RM98,000 seunit untuk 
    rumah kos sederhana.
 
 Seorang pembeli, Amri Khaidir, 35, berkata, beliau kecewa ekoran rumah 
    terbengkalai itu  mengakibatkan terpaksa membayar sebanyak RM700 bagi 
    menyewa rumah lain.
 
 "Pemaju menjanjikan rumah kami akan siap dalam tempoh dua tahun, dan untuk 
    tempoh itu saya telah membayar bayaran faedah sebanyak RM700 sebulan selama 
    dua tahun.
 
 "Sekarang jumlah faedah yang tertunggak sebanyak RM23,000 dan ini amat 
    menyukarkan saya untuk berurusan dengan pihak bank," katanya.
 |