| Sudah jangka dihempap batu 
    Metro Ahad 15/01/2006
 
 CHERAS: “Kebimbangan yang menghantui kami akhirnya menjadi kenyataan. 
    Kejadian tanah runtuh yang berlaku seminggu lalu, berulang. Kali ini lebih 
    berbahaya apabila seketul batu seberat 100 kilogram (kg) menghempap rumah 
    saya petang semalam (kelmarin).
 
 “Meskipun kami selamat, tidak mustahil perkara sama berulang kerana struktur 
    bukit bersebelahan rumah kami tidak kukuh,” kata penduduk, Lim Chi Loong, 
    26.
 
 Dia kini takut untuk kembali ke rumahnya di Taman Bukit Pandan, Kampung 
    Cheras Baru, di sini, selepas kejadian terbaru kelmarin.
 
 Dalam kejadian jam 7 petang itu, rumah teres dua tingkat milik Lim di Jalan 
    Pandan 3 rosak teruk, terutama di bahagian dapur, selepas dihempap batu 
    seberat kira-kira 100 kg.
 
 Bagaimanapun, ketika kejadian tiada sesiapa di dalam rumah berkenaan selepas 
    diarahkan pemaju supaya berpindah ke sebuah hotel berhampiran apabila 
    menyedari rumah di kawasan itu tidak selamat untuk didiami.
 
 Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati, kerja pembersihan runtuhan batu di 
    kawasan itu rancak dijalankan, termasuk pemasangan pagar keselamatan di 
    lereng bukit berkenaan.
 
 Pemaju turut memasang pagar di sekeliling taman permainan bagi mengelak 
    orang ramai memasuki kawasan larangan dengan dipantau beberapa penguat kuasa 
    Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
 
 Lim berkata, dia mengetahui rumahnya dihempap batu besar ketika menikmati 
    makan malam bersama keluarga di sebuah restoran masakan Cina di Ampang, 
    kira-kira jam 8 malam kelmarin.
 
 “Seorang jiran menghubungi saya dan memaklumkan, rumah kami dihempap batu 
    besar. Mulanya saya ingatkan batu itu jatuh di belakang rumah, tetapi ia 
    lebih teruk daripada jangkaan kerana dapur saya rosak.
 
 “Kejadian ini menyebabkan saya mengalami kerugian besar kerana terpaksa 
    membaik pulih pintu belakang, tingkap stor dan sebuah mesin basuh yang turut 
    musnah,” katanya yang bekerja sebagai pereka fesyen.
 
 Lim berkata, dia sudah meminta pemaju supaya segera membaiki rumahnya dan 
    menanggung kerugian dialami.
 
 Difahamkan, masalah itu timbul selepas pemaju perumahan melakukan kerja 
    memecah dan meletupkan batu berhampiran kediaman mereka untuk membangunkan 
    rumah baru.
 
 Penduduk mendakwa, walaupun pemaju memasang sangkar batu penahan hakisan di 
    belakang rumah mereka sejak setahun lalu, ia tidak dapat menahannya dalam 
    jangka masa panjang.
 
 Kebimbangan mereka terbukti apabila beberapa bongkah batu besar dari lereng 
    bukit jatuh satu persatu ke kawasan taman permainan kanak-kanak pada 5 
    Januari lalu, sebelum memusnahkan sebuah rumah petang kelmarin.
 
 Eksekutif, Young Mau Lam, 33, mendakwa dia kecewa dengan pemaju perumahan 
    berkenaan kerana tidak mengendahkan aduan yang disuarakan penduduk, selain 
    kecewa dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana meluluskan projek itu.
 
 “Tebing batu ini memang diketahui menjadi ancaman kepada penduduk di Bukit 
    Pandan disebabkan kedudukannya yang tidak stabil. Air yang mengalir dari 
    atas bukit turut mengakibatkan struktur batuannya longgar.
 
 “Meskipun dipasang sangkar batu, ia tidak mampu bertahan lama. Hakisan mudah 
    berlaku, terutama ketika hujan lebat. Struktur batu bertambah longgar akibat 
    kerja meletupkan batu di lereng bukit,” katanya.
 
 Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, ketika 
    dihubungi enggan memberi ulasan, sebaliknya akan mengeluarkan kenyataan 
    berhubung masalah berkenaan esok.
 
 Bagaimanapun, dia memaklumkan sudah menghantar sepasukan penguat kuasa serta 
    pegawai dari Jabatan Kejuruteraan MPAJ untuk membuat pemantauan 24 jam bagi 
    mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
 |