| SPNB siapkan rumah 
    terbengkalai 20 tahun  06/01/2006 Utusan Malaysia
 KUALA LUMPUR 5 Jan. - Selepas 20 tahun menanti, akhirnya pemilik-pemilik 
    rumah dua tingkat di Taman Sungai Pinang, Klang boleh berpindah ke rumah 
    mereka setelah ia siap sepenuhnya selepas diambil alih oleh Syarikat 
    Perumahan Negara Berhad (SPNB).
 SPNB telah diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
    mengambil alih projek yang dilancarkan sejak 1983 apabila pemaju terdahulu 
    gagal menyiapkan baki 20 peratus pembinaannya.
 
 Pengerusi Eksekutif SPNB, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, 
    pihaknya telah menyiapkan projek terbengkalai tersebut tanpa mengenakan 
    apa-apa bayaran tambahan kepada pembeli.
 
 "Kos membaik pulih projek ini sebanyak RM1.16 juta ditanggung sepenuhnya 
    oleh kerajaan.
 
 "Oleh itu saya berharap dengan siapnya projek ini, penderitaan yang 
    ditanggung oleh pembeli akan berakhir ," katanya dalam satu kenyataan di 
    sini hari ini.
 
 Menurut Tengku Adnan, SPNB akan terus memberi tumpuan mempercepatkan 
    kerja-kerja membaik pulih bagi membantu kerajaan memulihkan kembali 
    projek-projek perumahan terbengkalai di Malaysia.
 
 "Buat masa ini, terdapat 176 projek perumahan terbengkalai diletakkan di 
    bawah skim pemulihan SPNB seperti yang diarahkan kementerian.
 
 "Ia melibatkan 51,413 unit kediaman dengan anggaran nilai projek sebanyak 
    RM4.3 bilion," katanya.
 
 Bagi negeri Selangor pula katanya, SPNB kini sedang membaik pulih tiga 
    projek perumahan terbengkalai iaitu di Taman Kantan Permai di Kajang, Bandar 
    Pinggiran Subang (Shah Alam) dan Taman Desaria (Petaling Jaya).
 |