| SPNB baik pulih projek rumah 
    terbengkalai 20 tahun Berita Harian 6/1/2006
 
 KLANG 10 Jan. - Selepas 20 tahun kecewa dan tidak pasti dengan nasib projek 
    perumahan mereka, kini pemilik 17 unit rumah dua tingkat di Taman Sungai 
    Pinang di sini, boleh tersenyum gembira apabila rumah tersebut akhirnya siap 
    sepenuhnya.
 
 Segalanya bermula apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bertindak 
    'campur tangan'
 dengan mengambil alih tugas tersebut menjadikan impian kesemua pemilik satu 
    kenyataan.
 
 Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata SPNB 
    telah mengambil alih projek yang 80 peratus siap itu tanpa mengenakan 
    apa-apa bayaran tambaban kepada para pembeli.
 
 "Namun pada masa yang sama kerajaan terpaksa menanggung kerugian bagi 
    memastikan projek itu siap sepenuhnya.
 
 "Oleh itu, saya berharap dengan siapnya projek ini, penderitaan yang 
    ditanggung para pembeli akan
 berakhir," katanya melalui satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
 
 SPNB merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF 
    Inc.), telah diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 
    untuk mengambil alih dan membaik pulih projek perumahan tersebut yang telah 
    dilancarkan sejak 1983.
 
 Tambah Adnan, disebabkan kegagalan pemaju projek terdahulu menyiapkan rumah 
    tersebut menyebabkan kesemua pemilik menderita selama dua dekad.
 
 "Kami sedar dengan kegagalan tersebut, impian para pembeli untuk memiliki 
    sebuah rumah tidak tercapai.
 
 "Malah mereka turut dibebani masalah kewangan kerana bukan sahaja terpaksa 
    membayar sewa rumah yang lain tetapi juga harus membayar pinjaman perumahan 
    dengan pihak bank,”tambahnya.
 
 Justeru, beliau memberitahu, dengan kos membaik pulih melebihi RM1.16 juta, 
    setiap unit bernilai antara RM99,975 hingga RM128,875 itu berjaya disiapkan.
 
 Dibina di atas kawasan pegangan bebas seluas 0.52 hektar, projek perumahan 
    ini membabitkan pembinaan 29 unit rumah kediaman.
 
 Walau bagaimanapun, jelasnya, SPNB hanya bertanggungjawab untuk membaik 
    pulih 17 unit sahaja kerana pemilik telah menerima hak milik kediaman.
 
 Kata Adnan lagi, sebagai sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk 
    membantu kerajaan memulihkan kembali projek-projek perumahan terbengkalai di 
    Malaysia, SPNB akan terus memberikan tumpuan untuk mengukuhkan lagi 
    kekuatannya dan mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih diamanahkan.
 
 Di Selangor, tambah beliau, SPNB sedang membaik pulih tiga projek perumahan 
    yang turut terbengkalai iaitu Taman Kantan Permai (Fasa 1), Kajang, Bandar 
    Pinggiran Subang, Shah Alam dari Taman Desaria, Petaling Jaya.
 
 "Buat masa ini, terdapat 176 buah projek perumahan terbengkalai diletakkan 
    di bawah skim pemulihan SPNB seperti yang diarahkan oleh KPKT, melibatkan 
    51,413 unit kediaman dengan anggaran nilai projek RM4.3 juta," katanya.
 |