| Rumah tak selamatHarian Metro 14/01/2006
 CHERAS: Penduduk Taman Bukit Pandan, di sini, diancam maut berikutan 
    beberapa kejadian tanah runtuh yang menyebabkan rumah mereka dihempap batu 
    seberat 100 kilogram, termasuk insiden terbaru kira-kira jam 7 malam tadi.
 
 Bagaimanapun, ketika itu penduduk tiada di rumah kerana diarahkan berpindah 
    ke sebuah hotel berhampiran selepas kawasan berkenaan dipercayai tidak 
    selamat didiami.
 
 Seorang penduduk yang belum dipindahkan, Lee Hock Chuan, 48, berkata dia 
    terkejut mendengar dentuman kuat di belakang rumah jirannya di Jalan Bukit 
    Pandan 3, taman berkenaan.
 
 Menurutnya, sebaik membuat pemeriksaan, beliau mendapati empat batu besar 
    menghempap bahagian belakang dua rumah teres dua tingkat di situ, 
    menyebabkan dinding serta pintu dapurnya rosak teruk.
 
 “Ketika kejadian tiada penghuni di rumah itu kerana mereka diarahkan 
    berpindah sejak kejadian tanah runtuh pada 5 Januari lalu.
 
 “Setakat ini, tujuh keluarga diarahkan berpindah ke sebuah hotel berhampiran 
    kerana kawasan perumahan ini tidak selamat didiami lagi,” katanya ketika 
    ditemui di tempat kejadian di sini.
 
 Lee berkata, penduduk kini dalam ketakutan akibat dua kejadian tanah runtuh 
    yang berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan.
 
 Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Anggota Parlimen Ampang Jaya, Teng 
    Tien Meng, berkata pihaknya meminta polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya 
    (MPAJ) bagi memantau tempat kejadian.
 
 “Pihak berkuasa sudah menutup jalan berkenaan bagi mengelakkan sebarang 
    kejadian yang tidak diingini. Saya berharap pihak yang bertanggungjawab 
    mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” 
    katanya.
 |