| Rumah terbengkalai sejak 199804/01/2006 
    Berita Harian Oleh Masrina Mohd Yunos
 
 KAJANG: Hasrat 108 pembeli rumah di Taman Serosa, Jalan Cheras untuk 
    menduduki kediaman yang terbengkalai sejak 1998 akan tercapai dengan 
    pelantikan pemaju baru untuk meneruskan projek berkenaan, akhir bulan ini.
 
 Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Bertindak Taman Serosa menggesa baki 43 
    pembeli yang tidak dapat dikesan tampil menandatangani perjanjian sampingan 
    bersama pemaju baru, Cahaya Maha Gaya Sdn Bhd sebelum 15 Januari ini.
 
 Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata Kementerian Perumahan dan 
    Kerajaan Tempatan menerusi kelulusan mahkamah pada September 2004 melantik 
    syarikat Horwath sebagai Pegawai Perikutasi.
 
 Katanya, menerusi mesyuarat diadakan selama satu setengah tahun bersama 
    syarikat Horwath, lebih 95 peratus daripada pembeli bersetuju meneruskan 
    projek terbengkalai itu.
 
 “Kementerian mensyaratkan projek terbengkalai itu hanya boleh diteruskan 
    apabila lebih 75 peratus pembeli menandatangani perjanjian sampingan dengan 
    Cahaya Maha Gaya.
 
 “Bagaimanapun, sehingga kini hanya 60 peratus daripada pembeli sudah berbuat 
    demikian, manakala baki 43 pembeli tidak dapat dikesan berikutan alamat dan 
    nombor telefon yang diberi tidak lagi wujud,” katanya pada sidang media di 
    sini, semalam.
 
 Projek yang dimulakan sejak 1998 oleh pemaju milik penuh Bumiputera, Serosa 
    Resources Sdn Bhd (Serosa) itu membabitkan pembinaan tiga jenis rumah, iaitu 
    110 unit pangsapuri kos rendah 12 tingkat, 240 unit pangsapuri kos sederhana 
    16 tingkat dan 60 rumah teres dua tingkat yang dibina di tanah seluas 2.8 
    hektar.
 
 Kediaman tiga jenis yang dijual pada harga antara RM35,000 untuk rumah kos 
    rendah hingga RM160,000 (rumah teres dua tingkat) yang dijangka siap pada 
    2002, bagaimanapun tergendala berikutan pemajunya dipercayai sudah gulung 
    tikar.
 
 Tinjauan Sentral baru-baru ini mendapati, projek rumah teres dua tingkat kos 
    sederhana sudah siap 70 peratus dengan keadaan rumah belum berpagar, pintu 
    dan struktur pembinaan kawasan dalaman dan luar rumah belum sempurna.
 
 Pembinaan 110 unit pangsapuri kos rendah 13 tingkat pula hanya pada 
    peringkat menanam cerucuk dan 240 unit pangsapuri kos sederhana 16 tingkat 
    belum dibina pemaju.
 
 Kawasan perumahan itu juga ditumbuhi rumput dan lalang serta menjadi tempat 
    takungan air, manakala jalan masuk ke situ berbecak dan belum diturap.
 
 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Serosa, Hussin Saimin, 39, berkata 
    beliau sudah membayar wang pendahuluan hampir RM15,000 pada 25 Ogos 2000 
    untuk membeli rumah teres dua tingkat.
 
 "Rumah dijangka siap pada 2002 tetapi sehingga kini proses pembinaannya 
    hanya siap 70 peratus dan saya perlu membayar pinjaman bulanan bank sebanyak 
    RM520.
 
 "Oleh itu, saya amat berharap baki 43 pembeli itu memberi kerjasama supaya 
    rumah terbengkalai ini dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.
 
 Seorang lagi pembeli, Abu Bakar Awaluddin, 50, berkata beliau kecewa dengan 
    pemaju berkenaan yang bersikap ‘lepas tangan’ selepas menerima 45 peratus 
    pembayaran daripada harga rumah.
 
 “Saya membeli rumah kos rendah pada harga RM35,000 dan sudah membayar 
    RM15,750 secara tunai pada 2000. Tetapi sehingga kini, pembinaannya hanya 
    setakat menanam cerucuk,” katanya.
 
 Peniaga, Zuraidah Othman, 47, berkata beliau sudah membayar wang pendahuluan 
    RM10,000 untuk membeli rumah teres dua tingkat.
 
 “Saya sudah tandatangan dokumen perjanjian jual dan beli (S&P) pada 1998 dan 
    membayar 10 peratus wang pendahuluan,” katanya.
 
 Pembeli projek perumahan Taman Serosa yang belum menandatangani perjanjian 
    sampingan itu diminta menghubungi Zuraidah Othman di talian 019-3635867 atau 
    Hussin Saimin (012-6530803) sebelum 15 Januari ini.
 |