| Rasional cukai pintu  Utusan Malaysia 16/1/2006
 CUKAI pintu timbul kembali menjadi isu. Tidak pernah ada berita yang boleh 
    disambut lega mengenai cukai pintu. Cukai dinaikkan tetapi perkhidmatan 
    mengecewakan.
 
 Sebarang bentuk cukai yang dilaksanakan sewajarnya memenuhi prinsip asas 
    pencukaian itu sendiri. Cukai yang adil adalah cukai yang memenuhi dua 
    tuntutan utama prinsip asas pencukaian. Pertama dari segi faedah yang bakal 
    dipulangkan kepada pembayar cukai dan masyarakat amnya. Kedua dari segi 
    kemampuan membayar oleh pembayar cukai.
 
 Bagi tuntutan pertama iaitu faedah yang bakal dipulangkan kepada pembayar 
    cukai sememangnya sukar diukur secara spesifik. Kebanyakan faedah yang 
    dipulangkan merupakan faedah umum kepada masyarakat dalam bentuk barangan 
    atau perkhidmatan untuk kegunaan bersama.
 
 Mengenai tuntutan kedua, cukai yang dikenakan mestilah mengikut kemampuan 
    membayar berlandaskan prinsip ekuiti. Jika pendapatan atau keuntungan tinggi, 
    maka cukai yang dikenakan harus tinggi dan begitulah sebaliknya.
 
 Persoalan pokok di sini adakah cukai pintu itu memenuhi kedua-dua prinsip 
    pencukaian? Kenapa antara banyak-banyak cukai, cukai pintu yang selalunya 
    menimbulkan kontroversi dan mendapat bantahan daripada pembayar cukai?
 
 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (pindaan) membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) 
    mengenakan cukai pintu atau kadaran ke atas semua pegangan hartanah (tidak 
    termasuk hartanah yang dikecualikan) yang berada di kawasan masing-masing. 
    Cukai dikenakan ke atas hartanah yang dimiliki melalui anggaran nilai sewa 
    kasar sesebuah hartanah setempat. Kadar cukai yang dikenakan berbeza 
    mengikut jenis hartanah sama ada kediaman, komersial, industri dan 
    lain-lain.
 
 PBT juga dibenarkan untuk menilai semula hartanah-hartanah di kawasan 
    masing-masing setiap lima tahun dan mentaksir cukai yang baru.
 Rasional penilaian semula hartanah dan penaksiran semula cukai pintu adalah 
    bagi menangani kenaikan kos PBT sedangkan pemilik hartanah dianggap mendapat 
    faedah atas kenaikan nilai hartanah mereka kesan daripada perubahan masa dan 
    pasaran.
 
 Sama seperti cukai-cukai lain, rata-rata faedah yang dipulangkan kepada 
    pembayar cukai pintu adalah faedah umum. Cukai pintu dikenakan berlandaskan 
    konsep memelihara kepentingan pelaburan hartanah si pembayar cukai atas 
    alasan tanpa perkhidmatan dan ameniti yang diberikan,
 sesebuah kawasan atau lokaliti akan menjadi tidak baik dan pasaran hartanah 
    di kawasan berkenaan akan turut terjejas dan nilai hartanah akan menurun.
 
 Namun, apa yang sebenarnya dipulangkan kepada pembayar cukai hanyalah faedah 
    umum sahaja dalam bentuk perkhidmatan yang sama dan ameniti yang dikongsi 
    penggunaannya tanpa mengira rendah atau tinggi cukai yang dibayar.
 
 Oleh kerana faedah yang diberikan adalah sama sahaja, kenapa pula cukai yang 
    dikenakan tidak diselaraskan dan disamakan untuk semua pembayar cukai?
 Berbeza
 
 Alasan yang lazimnya dikemukakan - walaupun perkhidmatan yang diberikan dan 
    ameniti yang disediakan adalah secara umum tetapi perubahan ke atas pasaran 
    dan nilai hartanah adalah berbeza mengikut jenis dan kategori, maka cukai 
    dikenakan harus berbeza. Alasan seterusnya ialah tiada apa bentuk pencukaian 
    yang memulangkan faedah secara spesifik kepada setiap pembayar cukai, 
    semuanya diberi dalam bentuk barangan dan perkhidmatan awam yang umum.
 
 Dari segi prinsip kemampuan membayar, oleh kerana cukai pintu berasaskan 
    kepada sewaan kasar hartanah, bagi hartanah yang disewakan atau dipajakkan, 
    asas pencukaian sedemikian adalah berkaitan kerana pemilik menerima 
    pendapatan sewa daripada pemajak atau penyewa.
 
 Tetapi bagi pemilik hartanah yang tinggal sendiri atau tiada menerima 
    pendapatan sewa, asas ini sukar diterima. Dengan lain perkataan, bagi 
    hartanah berkenaan, cukai pintu yang dikenakan tiada kaitan langsung dengan 
    pendapatan si pembayar cukai.
 
 Kalau dibandingkan dengan cukai-cukai lain berasaskan pendapatan atau 
    keuntungan, cukai pintu gagal memenuhi kedua-dua prinsip pencukaian 
    berkenaan. Kritikan yang selalu dilemparkan ke atas cukai pintu ialah ia 
    tidak adil, membebankan dan regresif berbanding dengan cukai-cukai lain.
 
 Walaupun sudah lama dikenal pasti mengenai kelemahan sistem cukai pintu yang 
    diamalkan oleh PBT, persoalannya kenapa ia masih menjadi pencukaian utama 
    PBT?
 
 Apakah tidak mungkin kita memperbaiki sistem cukai pintu atau bertukar 
    sahaja kepada sistem yang lebih baik dan adil mengikut acuan kita sendiri?
 
 Walaupun kebanyakan pihak kerajaan yang mengamalkan sistem cukai pintu sedar 
    akan kepincangan dan ketidakadilan dalam sistem cukai berkenaan, setelah 
    dicari alternatif yang lain, mereka mendapati cukai pintu masih merupakan 
    cukai yang sesuai dari segi pentadbiran dan pelaksanaan.
 
 Ini kerana, objek yang menjadi asas kepada taksiran pencukaian itu adalah 
    hartanah yang mana kedudukannya tetap dan tidak boleh dipindah.
   Sekiranya pembayar cukai gagal 
    membayar cukai pintu, tindakan susulan undang-undang boleh diambil dengan 
    mudah dengan menyita premis bagi mendapatkan cukai yang tertunggak. 
 Tidak mudah untuk mencari cukai alternatif yang lebih baik dan mampu 
    memenuhi prinsip keadilan bagi menggantikan cukai pintu. Lebih baik sahaja 
    kerajaan kenal pasti dan perbaiki kelemahan dan kekurangan sistem cukai 
    pintu yang dilaksanakan PBT daripada mencuba-cuba sistem cukai yang baru.
 
 Sekiranya masalah adalah berkaitan dengan bebanan cukai yang tidak adil, 
    kenapa tidak gunakan konsep agihan semula seperti sistem rebat bagi 
    mengurangkan bebanan kepada pembayar cukai yang berpendapatan rendah.
 Sekiranya sistem rebat menyebabkan pengurangan hasil berbanding perbelanjaan, 
    maka adalah menjadi peranan kerajaan negeri dan persekutuan yang mempunyai 
    asas cukai yang lebih besar, menyalurkan sumbangan melalui geran bagi 
    mengimbangi defisit perbelanjaan PBT.
 
 Begitu juga dengan tahap perkhidmatan yang kerap menjadi rungutan. Adalah 
    menjadi tanggungjawab PBT menyediakan perkhidmatan yang terbaik lagi efisien 
    serta ameniti yang mencukupi tanpa mendiskriminasi antara satu kawasan 
    dengan kawasan yang lain. Semua pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan 
    terbaik tanpa mengira strata sosial mereka.
 
 Hubungan PBT dan pembayar cukai adalah seperti penjual dan pembeli. Sudah 
    tentu pembeli mahukan barangan atau perkhidmatan yang berkualiti dan 
    terjamin daripada penjual.
 
 PBT juga dituntut supaya lebih telus, memberikan perkhidmatan yang 
    berkualiti, berhemah dalam perbelanjaan tanpa pembaziran.
 |