| Projek tergendala hantui 
    Kampung Sungai Pusu  18/01/2006 Berita Harian 
 GOMBAK: Keterbukaan penduduk Kampung Sungai Pusu, dekat Universiti Islam 
    Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini menerima pembangunan mungkin bertukar 
    menjadi igauan buruk apabila beberapa projek yang terbengkalai sejak dua 
    tahun lalu mengundang pelbagai masalah dan jenayah yang membimbangkan mereka.
 
 Malah, projek berkenaan menyebabkan pencemaran dan memusnahkan alam semula 
    jadi sehingga penduduk dihantui kebimbangan berlaku banjir dan tanah runtuh.
 
 Kebimbangan itu mungkin ada benarnya kerana tanah bukit yang diratakan untuk 
    tujuan pembangunan terbiar sejak beberapa tahun lalu dan mengancam penduduk 
    jika berlaku runtuhan tanah, terutama apabila hujan lebat.
 
 Walaupun kemalangan belum berlaku, penduduk mengakui mereka terpaksa 
    berhati-hati bagi mengelak kejadian buruk, khususnya di kalangan kanakkanak.
 
 Tinjauan di beberapa tapak projek mendapati pelbagai kelengkapan pembinaan 
    seperti kabin pejabat, pembetung, kayu dan besi buruk berkarat dibiar 
    bersepah hingga menjadi medan penagih dadah melepaskan gian.
 Namun, pemaju projek, tidak diketahui kerana tidak kelihatan papan tanda 
    mengenai projek berkenaan.
 Bagaimanapun, menurut penduduk antara projek ialah pembinaan rumah dan 
    kondominium serta pelebaran sungai dan loji.
 
 Pemangku Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Miza 
    Shah, berkata projek terbengkalai di atas bukit sejak lebih dua tahun lalu 
    itu dikhuatiri menyebabkan tanah runtuh atau mendapat dan membahayakan 
    deretan rumah berhampiran.
 
 Tanah yang diratakan itu dipercayai untuk pembinaan unit rumah dan 
    kondominium dan pemaju dikatakan terpaksa menghentikan projek seketika bagi 
    memastikan tanah berkenaan benar-benar mendap dan selamat.
 
 "Tanah ini yang dulunya rata sudah banyak berlubang. Jika lubangnya kecil 
    tidak mengapa, lihat sajalah lubang besar akibat hakisan. Kita bimbang jika 
    ada yang terjatuh dalam perangkap lubang ini.
 
 "Setiap kali hujan lebat, air mengalir seolah-olah air terjun. Deras tetapi 
    berlumpur. Rumah berhampiran juga sudah banyak yang retak akibat mendapan 
    tanah dan aliran air yang tidak sempurna. Penghuni bimbang ia mengancam 
    nyawa dan mereka tidak lena tidur terutama ketika hujan lebat.
 
 "Dulu, di hujung bawah bukit ada kolam mata air kurang 10 meter, tetapi kini 
    ia semakin melebar sehingga kirakira 500 meter dan menakung air seperti 
    lombong dan berbahaya kepada kanakkanak," katanya.
 
 Tinjauan Sentral juga mendapati, ada sebahagian tanah di lereng bukit 
    berhampiran sudah ditutup dengan plastik bagi mengelak hakisan tanah ketika 
    hujan lebat.
 
 Penduduk, Shahrin Manap, 52, berkata jalan masuk ke kampung yang dibina 
    untuk kenderaan ringan kira-kira enam tan kini bebas dilalui lori seberat 
    hingga 30 tan yang mengangkut pasir menyebabkan jalan rosak.
 
 Katanya, pemandu lori juga memandu laju serta membahayakan kanak-kanak yang 
    menunggang basikal dan berjalan kaki.
 
 Nekmat Mamat, 60, pula berkata,tahun lalu, beberapa rumah penduduk dilanda 
    banjir berikutan sungai berhampiran tidak mampu menampung air yang melimpah 
    selepas kerja pembinaan di kawasan itu menyebabkan sungai semakin mengecil.
 
 Sabtu lalu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata kerajaan 
    akan mengambil tindakan mahkamah terhadap lima syarikat yang memajukan 
    kawasan berdekatan UIAM kerana tidak mematuhi Akta Alam Sekitar dan Akta 
    Parit, Bangunan dan Saliran.
 
 “Beliau berkata, pemaju terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas Laporan 
    Penilaian Alam Sekitar (EIA) siap kira-kira dua minggu lagi.
 
 Ketika dihubungi kelmarin, Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan sedang 
    rnenyediakan laporan terakhir, termasuk Kertas siasatan untuk diambil 
    tindakan.
 
 Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan akan mengumumkan tindakan 
    selepas semua laporan disiapkan.
 
 Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan 
    mana-mana pemaju yang melakukan projek pembangunan sehingga memusnahkan alam 
    sekitar.
 
 "Kita tidak akan berkompromi dengan pemaju yang ingkar. Tindakan 
    undangundang tetap akan diambil untuk menyedarkan pemaju lain supaya tidak 
    melanggar Akta Alam Sekitar," katanya.
 |