| Projek rumah terbengkalai di 
    Selangor tiada kesudahan 02/01/2006
    Berita Harian
 
 SHAH ALAM: Siapa tidak marah kalau wang yang dikumpul sekian lama untuk 
    membeli rumah idaman, ‘hilang’ begitu saja berikutan kegagalan pemaju 
    menyiapkan projek seperti dijanjikan.
 
 Lebih menyakitkan hati, ahli keluarga yang bertambah menyebabkan rumah sewa 
    semakin sempit.
 
 Jika tidak bernasib baik, tuan rumah pula menaikkan sewa dengan alasan 
    mengikut harga pasaran.
 
 Masalah pembeli rumah yang masih menyewa tetapi pada masa sama terpaksa 
    membayar pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah, bukan perkara baru.
 
 Ketika negara menghadapi krisis ekonomi pada 1997/1998, industri hartanah 
    antara sektor yang terjejas teruk.
 
 Di Selangor, 80 projek membabitkan 21,340 unit premis terbengkalai, sehingga 
    Disember 2005 iaitu perumahan (51), projek komersial (22), industri (dua) 
    dan pembesaran kampung (lima).
 
 Bagi memastikan nasib pembeli terbela, Lembaga Perumahan dan Hartanah 
    Selangor (LPHS) menggariskan beberapa kaedah penting.
 
 Ini termasuk membawa kes pemaju projek terbengkalai ke mahkamah; mengadakan 
    pendekatan terbaik terhadap syarikat yang ada kuasa pentadbiran harta milik 
    atau syarikat yang muflis; memulihkan projek terbeng-kalai dan melaksanakan 
    langkah pencegahan.
 
 Pengarah Eksekutif LPHS, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata Unit Khidmat 
    Guaman dicadang ditubuhkan di bawah LPHS bagi membantu pembeli yang 
    menghadapi masalah projek terbengkalai.
 
 Katanya, bagi tujuan membawa syarikat pemaju ke mahkamah, tiga syarat akan 
    dikenakan ke atas pembeli, antaranya pendapatan pembeli tidak lebih RM5,000.
 
 “Pembeli juga dikenakan yuran RM100 bagi setiap kes dan mereka perlu 
    bersetuju untuk kes itu dibawa ke mahkamah,” katanya kepada Berita Harian.
 
 Beliau berkata, kos pembiayaan yuran guaman bagi pengadu yang layak 
    diperoleh menerusi peruntukan tambahan Kerajaan Selangor yang dikemukakan 
    pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
 
 Alinah berkata, tatacara kaedah kedua membabitkan syarikat yang diisytihar 
    muflis atau syarikat mendapat kuasa pentadbiran harta milik, akan 
    dibincangkan dengan lebih terperinci bersama Jabatan Insolvensi dan bank.
 
 Katanya, tatacara itu juga membabitkan pelantikan pemaju atau kontraktor 
    baru untuk meneruskan kerja projek terbengkalai.
 
 Pada masa sama, tatacara itu akan membincangkan faktor keselamatan projek 
    atas tapak termasuk kos pemulihan dan penyenggaraan.
 |