| Penduduk mahu ambil alih 
     Kosmo 23/1/2006
 KUALA LUMPUR - Penduduk flat Setapak Indah Jaya dalam dilema setiap hari 
    apabila pelbagai masalah di kawasan kediaman yang membuatkan mereka tidak 
    senang duduk.
 
 Kawasan kediaman yang tidak terurus, kotor dan kerosakan kemudahan 
    menyebabkan penduduk berpakat untuk mendapatkan hak mengurus sendiri 
    kediaman mereka.
 
 Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Setapak Indah Jaya, Soon Chai Hock 
    berkata, kawasan itu semakin tidak terjaga disebabkan pihak pengurusan telah 
    menghilangkan diri.
 
 "Mereka yang sepatutnya menguruskan tempat ini telah menghilangkan diri 
    sejak September tahun lalu dan menyebabkan keadaan kotor serta kemudahan 
    yang rosak tidak dibaiki.
 
 "Keadaan ini menyebabkan yuran penyelenggaraan kediaman, pembayaran bil air 
    dan elektrik yang sepatutnya dikutip oleh pihak pengurusan, tertunggak," 
    katanya.
 
 Beliau berkata demikian ketika aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan 
    itu oleh penduduk bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju, Yew Teong Look dan 
    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.
 
 Menurut Chai Hock, sehingga kini mereka terpaksa menanggung beban hutang 
    kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) sebanyak RM92,000 dan Syarikat Bekalan Air 
    Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berjumlah RM72,000.
 
 Flat Setapak Indah Jaya yang terdiri daripada tiga blok dengan 504 unit 
    kediaman menempatkan lebih 2,500 orang.
 
 Antara masalah yang menyusahkan penduduk ialah lif yang selalu rosak.
 
 Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan merangkap 
    Ahli Parlimen Wangsa Maju, Yew Teong Look memberi jaminan pihaknya akan 
    meneliti masalah yang berlaku dan cuba membantu.
 
 Menurutnya, perbincangan akan diadakan dengan TNB, Syabas, DBKL serta 
    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan masalah 
    berkaitan diselesaikan segera.
 |