| Penantian 14 tahun berakhir
     19/01/2006 Berita Harian
 SELAYANG: Penantian selama 14 tahun setinggan Matang Pagar, Gombak, dekat 
    sini untuk memiliki rumah sendiri berakhir apabila 527 penduduk di situ 
    ditawarkan menduduki penempatan semula di Blok G, F dan H Taman Matang Jaya, 
    Mukim Rawang.
 
 Penduduk berkenaan akan berpindah ke kediaman baru itu dalam tempoh terdekat 
    sebaik urusan jual beli rumah berkenaan selesai.
 
 Impian memiliki rumah sendiri menjadi nyata selepas Perbadanan Kemajuan 
    Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih projek perumahan berkenaan pada 2003 
    selepas pembinaannya tertangguh sejak 1992 disebabkan tiga kontraktor yang 
    dilantik gagal menyiapkan.
 
 Pegawai Daerah Gombak, Tarmedi Omar, berkata sebanyak 360 surat tawaran 
    sudah dikeluarkan kepada peserta yang layak melalui Majlis Mesyuarat 
    Kerajaan Negeri dan sehingga kini hanya
 310 peserta menerima tawaran itu.
 
 Beliau berkata, sebanyak 50 unit lagi masih tidak dituntut peserta dan 
    pihaknya hanya membuka kepada mereka selama sebulan daripada tarikh yang 
    ditetapkan bermula 19 Januari ini.
 
 "Sekiranya tiada peserta datang pada tarikh itu, kita anggap mereka tidak 
    berminat untuk menduduki kediaman itu.
 
 "Kita juga akan mengemukakan senarai nama yang menolak untuk dibatalkan dan 
    mengeluarkan tawaran semula kepada peserta lain yang layak melalui Majlis 
    Mesyuarat Negeri," katanya yang ditemui pada Hari Pengundian Rumah Kos 
    Rendah (RKR) Taman Matang Jaya di Pejabat Daerah Gombak di sini, semalam.
 
 Tarmedi berkata, projek RKR yang berharga RM28,000 seunit itu adalah projek 
    terakhir kediaman dalam bentuk rumah teres yang dibina selepas sekian lama 
    terbiar.
 
 Majlis pengundian yang diadakan selama dua hari bermula semalam turut 
    dihadiri Adun kawasan Paya Jaras, Muhammad Bushro Mat Johor dan Adun Batu 
    Caves, V Jagharasah.
 
 Sementara itu, Tarmedi berakta, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis 
    Daerah Selayang bagi mencapai sasaran setinggan sifar di negeri itu yang 
    dijangka akan berakhir pada Jun depan.
 
 "Sehingga kini sebanyak 60 peratus setinggan di kawasan selayang sudah 
    dihapuskan dan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.
 |