| Pembeli buntu rumah 
    terbengkalai 10 tahun Utusan Malaysia 3/1/2006
 
 KUALA LUMPUR 2 Jan. - Lagi projek rumah terbengkalai. Kali ini melibatkan 47 
    unit rumah kos sederhana dua tingkat di Taman Kencana, Fasa 3, Ampang yang 
    terbengkalai sejak 10 tahun yang lalu.
 
 Projek rumah bernilai RM103,000 setiap unit itu sepatutnya siap pada 1995 
    kini pada tahap 30 peratus sahaja apabila pemaju projek itu bermasalah pada 
    2002.
 
 Projek itu diletakkan di bawah pegangan Jabatan Pemegang Harta, menyebabkan 
    masalah pembeli menjadi bertambah rumit apabila mereka terpaksa membayar 
    balik pinjaman bank.
 
 Para pembeli yang resah dan kecewa, baru-baru ini telah membuat aduan kepada 
    Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Kiat di pejabatnya, di sini, meminta 
    beliau campur tangan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.
 
 Menurut Tee Kiat, beliau difahamkan, projek tersebut kini sedang dalam 
    proses untuk diambil alih oleh pemaju baru dengan syarat setiap pembeli 
    perlu menambah RM55,000 pada perjanjian jual beli yang baru.
 
 Beliau berkata, pihak bank dan pembeli telah bersetuju dengan syarat itu.
 
 "Masalahnya, Pegawai Penerima dari Jabatan Pemegang Harta memberikan 
    pelbagai alasan untuk tidak hadir bagi menyelesaikan perkara ini," tegasnya.
 
 Tee Kiat menegur sikap jabatan tersebut yang sepatutnya telah lama 
    bekerjasama menangani isu berkenaan.
 
 Justeru, beliau berhasrat akan bersemuka dengan pihak terbabit bagi membela 
    nasib pembeli dalam masa terdekat.
 
 Seorang pembeli, Husin Abdul Ghani, 56, ketika ditemui berkata, dia kecewa 
    kerana terpaksa berpindah sebanyak empat kali dalam tempoh 10 tahun.
 
 "Saya menghabiskan RM800 untuk menyewa rumah lain sedangkan pada masa itu 
    saya sepatutnya sudah mendiami rumah baru," katanya yang merupakan bekas 
    kakitangan di Telekom Malaysia.
 
 K. Nadarajah, 45, pula berkata, akibat daripada projek yang terbengkalai 
    sekian lama itu, tapak tersebut kini telah menjadi penempatan pekerja asing.
 
 "Pendatang asing dengan sewenang-wenangnya menjadikan rumah kami sebagai 
    markas mereka. Mereka telah mendiami rumah kami dengan memasang sendiri 
    dinding-dinding malah membuat sambungan elektrik dan air sedangkan kami pula 
    tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.
 |