| Pegawai MPAJ pantau tanah 
    runtuh 24 jam  Berita Minggu 15/1/2006
 KUALA LUMPUR: Lapan pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ditugaskan 
    secara bergilir selama 24 jam bagi memantau bukit berhampiran Taman Bukit 
    Pandan, Cheras, di sini selepas kejadian tanah runtuh yang menimpa dua rumah 
    teres petang kelmarin.
 
 Jurucakap MPAJ ketika berkata, pihaknya akan memastikan kawasan bukit yang 
    sedang dibangunkan untuk projek pangsapuri itu dipantau 24 jam secara 
    bergilir-gilir mengikut syif.
 
 “Arahan dikeluarkan selepas kejadian tanah runtuh mengakibatkan kerosakan 
    teruk dua rumah teres dua tingkat di Jalan Bukit Pandan 3 dihempap batu 
    besar kelmarin.
 
 “Bagaimanapun, pemaju sedang memasang jaring dan pagar keselamatan pada 
    bukit berkenaan bagi mengelak lebih banyak runtuhan,” katanya semalam.
 
 Dalam kejadian jam 7 petang kelmarin, empat batu besar menghempap bahagian 
    belakang rumah itu menyebabkan dinding, tingkap serta pintu dapur rosak 
    teruk.
 
 Bagaimanapun, rumah berkenaan tidak berpenghuni selepas tujuh keluarga 
    dipindahkan pada 4 Januari lalu dan ditempatkan di sebuah hotel berhampiran 
    sebagai langkah keselamatan.
 
 Jurucakap itu berkata, anggota MPAJ turut memantau kerja pembersihan dan 
    pemasangan kelengkapan keselamatan oleh pemaju.
 
 “Pemaju juga sudah memasang lampu malam tadi supaya kawasan berkenaan terang 
    berbanding pada hari kejadian,” katanya.
 
 Tinjauan di kawasan itu mendapati bukit setinggi kira-kira lima tingkat 
    bangunan itu terletak kurang 10 meter dari kawasan perumahan.
 
 Seorang penduduk di kawasan itu, Lee Hock Chuan, 48, berkata tapak projek di 
    kawasan bukit itu dimulakan sejak dua bulan lalu.
 
 Beliau yang mendiami kawasan berkenaan sejak satu setengah tahun lalu 
    berkata, keluarganya serta jiran hidup ketakutan kerana bimbang kejadian 
    sama berulang.
 
 Sementara itu Ahli Parlimen Ampang Jaya, Datuk Ong Tee Keat, yang juga 
    Timbalan Menteri Belia dan Sukan sudah menerima laporan mengenai kejadian 
    daripada pemaju projek perumahan berkenaan, semalam.
 
 Setiausaha sulitnya, Teng Tien Meng, berkata Ong meminta pemaju mengambil 
    tindakan susulan bagi memastikan keselamatan penduduk.
 
 “Pemaju dan anggota MPAJ juga diminta membuat pemantauan dan mengambil 
    langkah proaktif untuk keselamatan penduduk,” katanya.
 |