| MPSJ lulus CF selepas jalan, 
    parit dibina  Berita Harian 6/1/2006
 KUALA LUMPUR: Pemaju Taman Lestari Perdana di Seri Kembangan minta 
    menyiapkan kemudahan jalan raya dan sistem perparitan terlebih dulu sebelum 
    menerima sijil layak menduduki (CF).
 
 Sijil berkenaan akan hanya dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 
    sekiranya pemaju mematuhi syarat ditetapkan.
 
 Yang Dipertua MPSJ, Mohd Arif Abd Rahman, berkata pemaju perlu menyiapkan 
    sepenuhnya jalan masuk utama serta longkang di taman perumahan berkenaan dan 
    pada masa sama menyelesaikan sambungan pembinaan jalan dan persimpangan 
    bertingkat di kawasan itu sebelum CF dapat diluluskan.
 
 "Kami sedia maklum dan memandang serius masalah infrastruktur yang dihadapi 
    penduduk berkenaan seperti jalan, longkang dan landskap yang tidak sempurna.
 
 "Masalah yang sama juga berlaku di kawasan Pinggiran Putra Taman Equine 
    dan Puncak Jalil kerana ia adalah kawasan pembangunan yang baru dan 
    projek pembinaan masih berjalan," katanya kepada Sentral di sini.
 
 Sebelum ini, Sentral melaporkan kira-kira 50 penduduk Taman Lestari Perdana 
    bukan saja tertekan dan kecewa kerana tidak memperoleh CF tetapi juga 
    menghadapi masalah infrastruktur yang tidak sempurna sejak bertahun-tahun.
 
 Penduduk rumah teres dua tingkat di situ turut mendakwa hanya menerima CF 
    sementara yang tamat tempoh sejak enam bulan lalu.
 
 Mereka turut mendakwa permohonan untuk melanjutkan CF sementara tidak 
    dilayan MPSJ dengan memberikan alasan sijil sedia ada masih boleh
 digunakan.
 
 Mohd Ariff berkata, MPSJ mengeluarkan CF sementara kepada pemaju pada 9 
    November 2004 dan sah sehingga 8 Mei tahun lalu dengan dua syarat yang 
    dikemukakan itu.
 
 "CF sementara sudah diluluskan pada mesyuarat pelan pembangunan 27 November 
    lalu. Bagaimanapun, CF tidak diberikan selagi pemaju tidak mematuhi syarat 
    dikenakan," katanya.
 |