| MDKS jawab isu rumah 
    terbengkalai Utusan Malaysia 10/1/2006
 
 KUALA SELANGOR 9 Jan. - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menjelaskan 
    punca projek Rumah Pangsa Kos Rendah Lima Tingkat di Mukim Ijok, Bandar Alam 
    Perdana, di sini terbengkalai kerana pemajunya menghadapi masalah kewangan.
 
 Pegawai Unit Perhubungan Awam MDKS, Mohd. Saad Mahsah berkata, pemaju projek 
    perumahan itu LBCN Dev. Sdn. Bhd. didapati menghadapi masalah pengurusan dan 
    kewangan.
 
 "Masalah itu yang menyebabkan projek perumahan berkenaan terbengkalai," 
    katanya dalam kenyataannya hari ini.
 
 Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas surat aduan Pembeli Buntu, 
    Batang Berjuntai, Selangor yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan 
    Malaysia pada 2 Januari lalu.
 
 Mohd. Saad berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga 
    Perumahan dan MDKS telah mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju bagi 
    mengatasi masalah tersebut.
 
 "Bagaimanapun pemaju masih gagal untuk menyiapkan perumahan tersebut. lni 
    termasuk mengadakan beberapa sesi perbincangan pada 1 Julai 2005, 3 Ogos 
    2005 dan yang terbaru pada September tahun lalu," katanya.
 |