| Mangsa batu runtuh pulang ke 
    rumah sabtu ini  Utusan Malaysia 18/1/2006
 KUALA LUMPUR 17 Jan. - Semua pemilik rumah di Taman Bukit Pandan, Cheras di 
    sini yang menjadi mangsa batu runtuh menimpa rumahnya, dijangka pulang ke 
    rumah masing-masing Sabtu ini untuk menyambut Tahun Baru Cina berikutan 
    tindakan pemaju perumahan itu membina pagar besi sebagai penghadang.
 
 Jurucakap Mudi Angkasa Sdn. Bhd. anak syarikat Talam Coporation yang 
    memajukan taman perumahan dan hanya mahu dikenali sebagai Tay itu berkata 
    keadaan akan lebih selamat selepas pagar besi yang dibina mengikut piawaian 
    lnstitut Kajian Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) 
    siap sepenuhnya Ahad lepas.
 
 "Kita berharap dapat menyelesaikan kerja mengorek cerun dan membuang batu 
    yang mungkin runtuh dalam masa tiga hari lagi," katanya kepada Bernama di 
    sini hari ini.
 
 Katanya, tiga jentera pengorek telah bekerja sehingga 10 malam setiap hari 
    untuk memastikan kerja-kerja tersebut dapat disiapkan secepat mungkin, 
    malangnya cuaca hujan telah melambatkan kerja-kerja berkenaan.
 
 " Saya harap semua penghuni yang terlibat dapat pulang dan menyambut Tahun 
    Baru Cina dalam keadaan gembira selepas ini,"kata Tay.
 
 Sebelum ini, kesemua sembilan pemilik rumah dan keluarga di taman perumahan 
    itu telah dipindahkan ke sebuah hotel di sini yang kosnya ditanggung 
    sepenuhnya oleh Mudi Angkasa selepas kejadian batu runtuh menimpa dua buah 
    rumah pada 5 Januari lepas, dan sekali lagi pada hari berikutnya.
 
 Runtuhan itu dipercayai berpunca dari sebuah projek perumahan yang sedang 
    dilaksanakan oleh syarikat lain di atas bukit tersebut.
 
 Sementara itu, dua pemilik rumah terbabit, Loh Yew Wai, 56, dan bekas ejen 
    insurans yang hanya mahu dikenali sebagai Choo berkata mereka tidak 
    menghadapi sebarang masalah berpindah tetapi berharap kontraktor dapat 
    menyiapkan kerja sebagaimana dijanjikan.
 
 "Kami tidak ada anak yang bersekolah, bagaimanapun bagi mereka yang 
    mempunyai anak mungkin menghadapi sedikit kesukaran menguruskan persekolahah 
    anak masing-masing," kata Loh.
 
 Sementara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAT) telah menempatkan 
    anggota penguat kuasanya 24 jam untuk mengawasi kerja-kerja pembersihan yang 
    dijalankan.-Bernama
 |