Kembalikan duit kami!
     
     02/01/2006
    Utusan Malaysia
    
    SUBANG JAYA 1 Jan.- "Kembalikan duit kami!," gesa pembeli 
    Kondominium Coral 
    Vista kepada pihak pemaju perumahan berkenaan.
    
    Ia berikutan kegagalan pihak pemaju menyiapkan rumah yang dijanjikan setelah 
    sembilan tahun projek dijalankan.
    
    Kondominium 14 tingkat serta mempunyai tiga blok bangunan itu menjanjikan 
    pelbagai kemudahan antaranya klam mandi, taman permainan kanak-kanak dan 
    sauna.
    
    Seorang pembeli, Norzakiah Ismai, 45, mendakwa, dia membeli kediaman 
    tersebut pada 1996 namun sampai sekarang tiada tanda-tanda ia akan disiapkan.
    
    Tambahnya, pihak bank telah membayar sebanyak RM33,363.40 kepada pemaju.
    
    "Itu belum termasuk faedah yang saya kena bayar.
    
    "Sekarang saya terpaksa membayar lebih RM300 sebulan bagi tempoh 15 tahun 
    untuk rumah yang sebenarnya tidak wujud," katanya kepada Utusan Malaysia di 
    sini baru-baru ini.
    
    Menurut Zakiah, syarikat berjanji akan membayar balik wangnya tidak wangnya 
    tidak termasuk faedah yang dikenakan pihak bank dan kos guaman pada Julai 
    2004.
    
    Malangnya sampai sekarang, tiada khabar berita daripada pemaju.
    
    "Mereka seolah-olah membiarkan saya menanggung beban hutang.
    
    "Kami cuma mahu wang kami dikembalikan," tegasnya.
    
    Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rumah tersebut hanya siap 20 peratus dan 
    kawasannya sudah ditumbuhi semak samun.
    
    Tambah Zakiah, pemaju pernah mengadakan perbincangan dengan pembeli mengenai 
    masalah tersebut namun tiada keputusana dicapai.
    
    "Dah sembilan tahun, sepatutnya kes ini sudah diselesaikan," ujarnya.
    
    Seorang pekerja swasta, Maznah Mohamad, 42, berkata borang tuntutan telah 
    dihantar kepada pemaju pada 1998 namun sehingga kini tiada sebarang jawapan.
    
    Menurutnya, pihak pemaju harus bertanggunjawab di atas kerugian pembelian.
    
    "Saya telah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli rumah ini, yuran 
    guaman bank dan rumah serta pelbagai lagi.
    
    "Masalah ini harus diselesaikan bukan melarikan diri," katanya.
    
    Maznah berkata, dia telah beberapa kali menghubungi pihak pemaju namun tiada 
    jawapan positif diberikan oleh mereka.
    
    Tambahnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan patut mengambil 
    tindakan sewajarnya kepada pemaju yang tidak bertanggunjawab supaya nasib 
    pembeli terbela.
    
    "Penyelesaian segera mengenai isu ini harus dilakukan bagi kebaikan 
    kedua-dua pihak, " ujarnya.