| Ka Ting arah atasi Taman 
    Wawasan mendap Utusan Malaysia 10/1/2006
 
 TANJONG KARANG 9 Jan. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan 
    bertindak untuk mengatasi masalah perumahan Taman Wawasan, di sini yang 
    mengalami masalah condong kerana mendap dan tidak selamat diduduki.
 
 Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting memberi jaminan itu dan akan mengarahkan 
    ketua penguat kuasa kementerian berkenaan bagi menyiasat dan mengkaji 
    masalah perumahan tersebut untuk diatasi segera.
 
 "Kementerian memang mempunyai bidang kuasa yang mahu sesebuah projek 
    perumahan mesti disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam keadaan 
    baik.
 
 "Pihak penguat kuasa kementerian sedia mendengar dan menyiasat seterusnya 
    bertindak terhadap
 aduan yang dibuat." katanya.
 
 Ka Ting menyatakan demikian pada majlis makan malam anjuran MCA Bahagian 
    Tanjong Karang di Dewan Datuk Hormat di sini malam kelmarin.
 
 Pada majlis itu, Jawatankuasa Bertindak Perumahan Taman Wawasan telah 
    menyampaikan aduan mengenai perumahan yang bermasalah itu kepada menteri 
    berkenaan.
 
 Terdahulu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Noh Omar pada majlis yang sama 
    menyatakan perumahan Taman Wawasan itu telah siap untuk diduduki tetapi ia 
    didapati condong dan akan runtuh.
 
 Katanya, masalah itu telah diadukan kepada pihak yang berkenaan termasuk 
    Lembaga Perumahan  Negara, Kerajaan Selangor, Majlis Daerah Kuala 
    Selangor (MDKS) dan pemaju terbabit.
 
 "Rumah yang terlibat sebanyak 33 unit mengandungi rumah kos rendah, kos 
    sederhana dan kos tinggi ini didapati telah condong dan tidak selamat 
    diduduki," katanya.
 
 Noh yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri merayu Kementerian 
    Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar campur tangan bagi menyelesaikan 
    masalah rumah condong itu.
 
 Belia berharap, jika pihak tribunal perumahan patut berperanan dalam kes 
    perumahan Taman Wawasan ini kerana pihak pemaju gagal dikesan untuk 
    mengatasinya.
 
 Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Wawasan Tanjong Karang, 
    Aida Hasan berkata, bangunan rumah berkenaan mengalami pemendapan dan 
    condong yang amat ketara dan berlaku keretakan.
 
 "Buktinya jika diletakkan benda seperti botol ia akan bergolek 
    perlahan-lahan mengikut arah kecondongan yang berlaku," katanya.
 
 Apa yang menghairankan, kata Aida, Sijil Layak Menduduki (CF) rumah itu 
    dikeluarkan oleh MDKS dalam keadaan rumah yang sedia condong.
 
 "Apabila diadukan, pihak MDKS serta merta menarik balik CF dan mengarahkan 
    rumah berkenaan dikosongkan.
 
 "Masalah ini berlarutan dan membebankan pembeli berkenaan bukan sahaja 
    terpaksa membayar hutang pinjaman perumahan setiap bulan sejak dua tahun 
    lalu dan dalam masa yang sama membayar sewa rumah lain yang diduduki 
    sekarang," katanya.
 
 Aida berkata, rumah yang bermasalah itu berharga RM30,000 bagi rumah kos 
    rendah, RM60,000 rumah kos sederhana dan RM150,000 rumah kos tinggi.
 
 "Pembelinya terdiri daripada keluarga pelbagai kaum dan kebanyakan pembelian 
    itu dibuat melalui pinjaman perumahan kerajaan dan bank.
 
 "Dalam keadaan sekarang kami terpaksa membayar hutang untuk rumah yang siap 
    tetapi tidak dapat diduduki dan ini sungguh membebankan kami," katanya.
 |