| Empat tahun tunggu CF Berita Harian 9/1/2006
 
 PUCHONG: Penantian empat tahun kira-kira 4,000 penduduk Taman Saujana 
    Puchong, di sini untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) bagi rumah 
    mereka ternyata belum berakhir.
 
 Penduduk mendakwa, pemaju bukan saja berdolak-dalik dan tidak 
    bertanggungjawab mengenai pemilikan CF berkenaan tetapi turut mengabaikan 
    kemudahan infrastruktur awam di kawasan kediaman itu.
 
 Lebih malang, rayuan penduduk terbabit yang dikemukakan kepada Majlis 
    Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mendapatkan penyelesaian ditolak dengan 
    alasan kawasan terbabit belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan itu.
 
 Pengerusi Jawatankuasa. Penaja Persatuan Penduduk, Martin Lim, berkata 
    penduduk mengharapkan keprihatinan MPSJ dalam membantu menyelesaikan masalah 
    itu selepas pemaju terus bersikap lepas tangan berhubung pemilikan CF.
 
 Beliau berkata, pihaknya yakin MPSJ dapat mendesak pemaju menyelesaikan 
    pelbagai masalah dihadapi penduduk sejak empat tahun lalu.
 
 Katanya, masalah utama yang dihadapi penduduk ialah CF sementara yang sudah 
    tamat tempoh Februari 2003.
 
 Keadaan itu menyebabkan pihak insurans tidak akan membayar pampasan jika 
    berlaku kecemasan
 kerana status CF tidak diketahui.
 
 "Kami membayar cukai pintu RM380 setahun kepada MPSJ. Dalam hal ini, kami 
    cuma minta MPSJ
 melaksanakan tanggungjawab sosial membantu kami yang diabaikan pemaju.
 
 "Sudah banyak kali kami buat aduan kepada pemaju, tetapi tiada maklum balas. 
    Apatah lagi jika mahu mengaturkan sebarang pertemuan," katanya di sini, 
    semalam.
 
 Lim berkata, sebahagian besar kediaman dan rumah kedai di kawasan itu 
    mengalami keretakan serius selain beberapa projek bangunan terbengkalai 
    sejak sekian lama.
 
 Beliau berkata, penduduk bimbang jika perkara tidak diingini seperti 
    runtuhan berlaku sekali gus mengancam keselamatan sekeluarga.
 
 Tinjauan Sentral mendapati jalan utama Taman Saujana Puchong yang melalui 
    Bandar Bukit Puchong itu sangat berbahaya, sempit dan berlopak selain 
    dipenuhi batu halangan. Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa menanggung 
    risiko ditimpa kemalangan.
 
 Jalan terbabit juga dikongsi dengan lori tanah yang membawa bahan binaan ke 
    projek perumahan bersebelahan iaitu Taman Mutiara Indah Puchong.
 
 Penduduk, Zainol Aswaddy Mohamed Yusuf, 33, berkata sistem perparitan juga 
    tidak diselenggara dengan sempurna menyebabkan longkang utama ke kolam 
    tadahan di Jalan SP9/9 banjir dan berbau busuk.
 
 Katanya, lampu jalan pula rosak dan tidak diperbaiki sejak lima bulan lalu.
 
 "Kami khuatir jika keadaan ini berlarutan ia akan membahayakan keselamatan 
    penduduk. Setakat ini lebih 60 kes kecurian dan pecah rumah dilaporkan.
 
 "Saya yang mewakili Persatuan penduduk Seksyen 9 Taman Saujana Puchong sudah 
    menghantar memorandum kepada MPSJ, pemaju dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) 
    tetapi tiada
 jawapan," katanya.
 
 Raja Abdul Rahman Raja Bashah, 37, berkata penduduk juga terpaksa menahan 
    bau busuk setiap hari berikutan pembuangan sampah di kawasan itu tidak 
    diselenggara dengan baik.
 |