| 'Daftar LPHS elak projek 
    terbengkalai'  BH 05/01/2006 Oleh Rafidah Mat 
    Ruzki SHAH ALAM: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mencadangkan 
    perunding projek di negeri ini didaftarkan dengan agensi itu sebagai usaha 
    mencegah projek terbengkalai.
 
 Perunding yang berdaftar akan diwajibkan mengemukakan laporan setiap projek 
    pembangunan bersama jadual kerja.
 
 Pengarah Eksekutif LPHS, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata ketika ini 
    kebanyakan perunding projek gagal mematuhi Jadual Kedua Undang-Undang Kecil 
    Bangunan Seragam 1984 yang mengkehendaki mereka menyerahkan Borang A, B, C, 
    D, dan E yang berkaitan projek pembangunan.
 
 Salinan borang perlu dikemukakan kepada LPHS bagi membantu pihak berkuasa 
    tempatan (PBT) melakukan pemantauan.
 
 LPHS juga akan menjadi pusat sehenti yang mengumpul dan mengedarkan maklumat 
    kepada bank, PBT serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai 
    amaran awal jika projek terbengkalai.
 
 Lawatan tapak akan dilakukan dari semasa ke semasa membabitkan perunding 
    projek, bank dan PBT jika projek menunjukkan tanda bermasalah.
 
 Alinah berkata, LPHS juga akan mendapatkan maklumat lengkap projek 
    terbengkalai yang berpotensi dipulihkan seperti nama projek dan pemaju, 
    punca terbengkalai, bilangan unit yang dibina dan dijual.
 
 Maklumat lain ialah tarikh dan tempoh perjanjian jual beli, status Akaun 
    Pemaju Perumahan (HDA), nilai wang yang sudah dikeluarkan bank kepada pemaju 
    atau pembeli, nilai projek dan peratus siap.
 
 Katanya, melalui kaedah itu juga, perjanjian sebelum itu akan dinilai semula 
    bagi memastikan sama ada ia perlu ditamatkan atau perlu perjanjian tambahan.
 
 "Bank akan diminta membantu dalam penstrukturan semula pinjaman jika perlu," 
    katanya sambil menambah pemaju yang layak akan dijemput berbincang.
 
 Beliau berkata, pembeli perlu menubuhkan jawatankuasa mewakili pembeli bagi 
    membolehkan kerja pemulihan disempurnakan sebaik maklumat diperoleh dan 
    cadangan penyelesaian diterima.
 
 |