| Cukai pintu naik Utusan Malaysia 9/1/2006
 
 KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa buah negeri 
    mula menaikkan cukai pintu di kawasan masing-masing mulai 1 Januari lalu.
 
 Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kadar kenaikan adalah antara 0.1 peratus 
    dan 1.1 peratus bergantung kepada kategori kediaman atau perniagaan.
 
 Antara negeri yang menaikkan cukai tersebut ialah Pulau Pinang, Selangor dan 
    Pahang manakala negeri-negeri lain juga dijangka melakukan tindakan yang 
    sama dalam tempoh terdekat.
 
 Alasan kenaikan tersebut ialah ia sudah lama tidak dinaikkan selain untuk 
    menampung kos perkhidmatan yang semakin meningkat.
 
 Perkhidmatan yang disediakan oleh PBT antara lain ialah prasarana, 
    kerja-kerja penyenggaraan, pembersihan, angkut sampah dan pelbagai 
    perkhidmatan lain.
 
 Kenaikan itu melibatkan cukai pintu bagi rumah kediaman dan premis swasta.
 
 Orang ramai berharap kadar kenaikan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi 
    meningkatkan kualiti perkhidmatan dan tidak digunakan secara membazir, 
    termasuk projek-projek pengindahan yang keterlaluan.
 
 Di Lembah Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menaikkan cukai 
    taksirannya tidak melebihi lapan peratus mulai tahun ini.
 
 Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Za'ba Che Rus berkata, kenaikan itu adalah 
    yang pertama dalam tempoh sembilan tahun, berikutan kadar tahunan sewa 
    bangunan yang meningkat berkali ganda dalam tempoh tersebut.
 
 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula menaikkan cukai pintu dari 5 ke 
    5.5 peratus untuk kediaman, dari 6 ke 6.6 peratus (perniagaan) dan dari 6 ke 
    7.1 peratus (industri).
 
 "Kita sudah dan akan terus memaklumkan peningkatan ini kepada warga kita 
    dari semasa ke semasa,'' kata Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad 
    kepada Utusan Malaysia
 hari ini.
 
 Bagi Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kenaikan yang diputuskan adalah 
    lapan ke 8.6 peratus bagi kediaman, per-niagaan dari 10 ke 10.6 peratus dan 
    tanah industri dari 12 ke 13 peratus.
 
 Yang Dipertuanya, Zainal Abidin Azim berkata, mereka yang tidak berpuas hati 
    boleh membuat bantahan kepada pihaknya selewat-lewatnya 13 Januari ini.
 
 Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih mengekalkan cukai 
    pintu seperti tahun sebelumnya.
 
 Di PULAU PINANG, cukai pintu bagi kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 
    dinaikkan antara 0.1 hingga 0.7 peratus berkuat kuasa 1 Januari lalu.
 
 Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas, Penerangan 
    dan Perhubungan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, cukai 
    pintu bagi premis industri dan hotel dinaikkan sebanyak 0.7 peratus daripada 
    12.8 peratus tahun lepas kepada 13.5 peratus.
 
 Cukai pintu bagi premis perdagangan dan kediaman bertanah pula naik 0.5 
    peratus masing-masing
 daripada 9.8 peratus dan 7.8 peratus kepada 10.3 peratus dan 8.3 peratus.
 
 Bagi kediaman strata, cukai pintu dinaikkan daripada 7.2 peratus kepada 7.5 
    peratus manakala kediaman kos rendah dinaikkan daripada 6.8 peratus kepada 
    tujuh peratus.
 
 Di PAHANG, kenaikan kadar cukai pintu sebanyak 0.5 peratus pada tahun ini 
    dikatakan tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada Majlis Perbandaran 
    Kuantan (MPK) berikutan terpaksa menanggung kos perkhidmatan awam yang cukup 
    tinggi.
 
 Yang Dipertua MPK, Datuk Muhammad Saffian Ismail berkata, hasil pendapatan 
    daripada cukai pintu tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan tinggi 
    yang terpaksa ditanggung oleh MPK bagi memastikan kemudahan dan perkhidmatan 
    awam berada pada tahap terbaik.
 
 "Walaupun kita menerima banyak rungutan daripada penduduk ekoran kenaikan 
    cukai pintu, tetapi MPK perlu melaksanakannya juga walaupun ia sebenarnya 
    tidak membantu meringankan
 beban yang kita tanggung,'' katanya.
 
 Menurutnya, kenaikan kadar cukai pintu yang dikenakan oleh MPK adalah 
    daripada 7.5 peratus kepada 8 peratus.
 
 Beliau berkata, pihaknya memohon kadar peratusan yang lebih tinggi, tetapi 
    kerajaan negeri hanya membenarkan MPK menaikkan bayaran cukai pintu hanya 
    sebanyak 0.5 peratus.
 |