| Bukit Sentosa, Bukit Beruntung 
    terbiar Berita Harian 7/1/2006
 
 BUKIT Sentosa dan Buklt Beruntung begitu gah kerana di sinilah dianggap 
    pintu masuk yang cepat untuk ke Genting Highlands dan seterusnya ke pantai 
    timur bagi pengguna jalan raya dari utara tanpa perlu menghadapi kesesakan 
    lalu lintas di Kuala Lumpur.
 
 Malah melalui kedua-dua bandar ini untuk ke destinasi yang dinyatakan itu 
    pada waktu siang amat menarik. Tetapi malangnya mengapa kawasan sekitarnya 
    terbiar? Bahu jalan dipenuhi lalang dan belukar.
 
 Rumah masih banyak kosong dan terbiar. Pengalaman yang sama saya alami 
    apabiIa melalui jalan di kedua-dua kawasan perumahan ini pada waktu malam 
    menggerunkan. Lampu jalan di sekitar perumahan Semarak, Kemboja hingga ke 
    Widuri yang dianggap jalan raya utama dari lebuh raya bertol ke Rasa dan 
    Kuala Kubu Baharu masih banyak tiang lampu yang tidak menyala.
 
 Bukan sekalidua malah beratus kali saya melalui kawasan, lampu jalan tetap 
    tidak dinyalakan. Majlis Daerah Hulu, Selangor juga patut dipersalahkan, 
    tidak pernah buat pemantauan.
 
 Saya percaya penduduk di kawasan ini pembayar cukai pintu yang setia. Pemaju 
    yang memonopoli projek perumahan juga tidak harus peluk tubuh, lepas tangan 
    daripada tanggungjawab selepas menjual rumah.
 
 Takkan kawasan perumahan yang menjadi kebanggaan negeri Selangor suatu masa 
    dulu dibiar begitu saja?
 
 Pelancong asing jika melalui kawasan ini tentu terkejut, banyak projek 
    perumahan yang sudah siap masih terbiar, cermin tingkap dan pintu hilang 
    entah ke mana.
 
 Di kawasan berhampiran Widuri dan Kemboja, kawasannya seakan-akan didirikan 
    dalam hutan belukar.
 
 Saya minta pihak berkenaan bertindak bijak, kerana pengguna mengharapkan 
    yang terbaik hasil bayaran bil elektrik yang diterima daripada pengguna 
    setiap bulan.
 PENGGUNA KECEWA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
 |