Konsep bina dan jual atasi
perumahan terbengkalai diteliti
24/09/2005 Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Kerajaan akan meneliti pandangan semua pihak
mengenai konsep bina dan jual untuk sektor perumahan sama ada patut
dilaksanakan di negara ini atau sebaliknya sebagai langkah berkesan
mengatasi masalah projek terbengkalai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata,
semua pihak berhak menyatakan pandangan masing-masing, namun pada akhirnya
kerajaan yang akan membuat keputusan mengenainya.
Dalam hal ini, katanya , kerajaan mahu mengimbangi antara tanggungjawab
melindungi kepentingan pembeli rumah dan pada masa yang sama tidak
mengabaikan peranan yang dimainkan oleh pemaju dalam menyediakan perumahan
untuk rakyat.
"Saya dengar pandangan daripada pelbagai pihak tetapi Kabinet yang akan
membuat keputusan selepas meneliti cadangan tersebut.
"Kertas kabinet mengenainya telah hampir siap," katanya kepada para
pemberita selepas merasmikan Pameran Hartanah (MAPEX) 2005, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan Persatuan Pemaju
Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) terhadap cadangan kerajaan untuk
melaksanakan konsep bina dan jual untuk sektor perumahan.
Presiden Rehda, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip sebelum ini berkata, langkah itu
akan memberikan kesan negatif yang besar bukan saja kepada industri
pembinaan rumah, malah industri yang menyokongnya.
Beliau memberi amaran industri pembinaan rumah akan mengecut kerana pemaju
kecil terpaksa gulung tikar kerana tidak mempunyai modal yang mencukupi
untuk membina rumah sebelum boleh menjualnya.
Beliau bagaimanapun memberitahu, sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan,
ia tidak sepatutnya dijadikan syarat mandatori, sebaliknya memadai
dijalankan secara selari dengan sistem yang diguna pakai ketika ini.
"Terpulang kepada pembeli sama ada mereka mahu membeli yang telah siap atau
sebaliknya. "Ketika ini, di pasaran terdapat banyak rumah siap yang
ditawarkan kepada mereka," katanya.
Sebelum ini, Persatuan Pembeli Rumah (HBA) telah mendesak kerajaan
melaksanakan konsep bina dan jual untuk sektor perumahan bagi mengatasi
masalah projek terbengkalai sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada
pembeli.
Dalam perkembangan berkaitan, Ka Ting berkata, sebanyak 12,709 kes daripada
14,231 kes yang didaftarkan ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) sejak
2003 hingga bulan lalu berjaya diselesaikan.
Bagaimanapun, menurutnya, terdapat 112 pemaju yang masih enggan mematuhi
perintah tribunal tersebut.
Berikutan itu, katanya pihaknya sedang dalam proses untuk mengheret para
pemaju berkenaan ke mahkamah atas tuduhan menghina mahkamah.
|