Tiada lagi rumah satu bilik
Berita Harian 4/8/2005
KUALA LUMPUR: Bagi kawasan tanah terhad seperti di Kuala Lumpur, kewujudan
bangunan kediaman tinggi mencakar langit adalah fenomena biasa kerana
permintaan tinggi daripada warga kota.
Sejarah kewujudan rumah kos rendah bermula kira-kira 36 tahun lalu dengan
pembinaan Perumahan Awam Razak Mansion di Sungai Besi bagi menempatkan
golongan berpendapatan rendah.
Ketika itu kebanyakan rumah pangsa dibina hanya memiliki satu bilik bagi
melaksanakan dasar kerajaan melalui Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) untuk
menempatkan semula setinggan.
Antara rumah pangsa kos rendah tertua dibina di ibu kota ialah Rumah Pangsa
Melati pada 1958 di Persimpangan Jalan Shaw/Jalan Loke Yew yang memiliki 220
unit kediaman dua bilik.
Melalui Housing Trust, kerajaan kemudian membina rumah pangsa 12 tingkat
dengan 216 unit kediaman dua bilik dan 44 unit satu bilik di Lorong Gombak
membabitkan kos RM2.4 juta.
Pada 1967, rancangan penyediaan perumahan rumah kos rendah diteruskan engan
pembinaan Rumah Pangsa Jalan Pekeliling atau Perumahan Awam Tunku Abdul
Rahman (TAR) dengan 2,969 unit kediaman.
Tetapi kini perubahan taraf hidup menyebabkan rumah pangsa satu bilik tidak
lagi sesuai dengan keperluan terutama bagi mereka yang memiliki keluarga
besar.
Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membangunkan
semula Rumah Pangsa Jalan Pekeliling yang dijangka siap sepenuhnya pada
2006.
Penyewa rumah pangsa itu akan dipindah ke Sri Rampai I dan II dan bangunan
kediaman berkenaan akan digantikan dengan pembinaan kediaman komersial dan
sistematik dikenali Taman Sari.
Sementara itu, Kementerian Wilayah Persekutuan pada Februari lalu
mengumumkan akan menjadikan Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng
sebagai projek perintis dua kediaman satu bilik yang digabungkan menjadi
tiga bilik.
Projek yang dianggarkan menelan belanja antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi
mengubah suai satu unit kediaman akan dilaksanakan di semua 9,111 unit
kediaman rumah pangsa kos rendah satu bilik apabila mendapat peruntukan
melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9).
|