SPNB ambil alih dua projek
terbengkalai
BH 12/8/2005
SEREMBAN: Dua projek perumahan di negeri ini yang terbengkalai sejak lebih
20 tahun lalu, iaitu Taman Pelangi di Sikamat dan Taman Senawang Jaya Fasa
2C, Senawang, dekat sini akan diambil alih Syarikat Perumahan Negara Berhad
(SPNB).
Kerja membaik pulih kedua-dua projek perumahan itu akan dijalankan dalam
tempoh terdekat selepas segala rundingan dan urusan berkaitan antara
kerajaan negeri dan SPNB diselesaikan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata segala kos termasuk kos
penyelenggaraan membaik pulih kedua-dua projek itu akan ditanggung oleh SPNB
dan kerajaan.
"Kita berharap keputusan menyerahkan kerja membaik pulih kedua-dua projek
itu kepada SPNB mampu menyelesaikan projek perumahan yang terbengkalai lebih
20 tahun itu.
"Keputusan ini juga diharap dapat membantu pembeli kedua-dua projek
perumahan itu daripada menanggung kerugian lebih banyak," katanya selepas
majlis penyerahan kunci kepada penyewa Rumah Pangsa Paroi, dekat sini.
Rumah pangsa 390 unit itu dibangunkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran
Seremban (MPS) dan Yayasan Perumahan Negara untuk setinggan dari sekitar
daerah ini.
Mohamad berkata, kerajaan negeri menerusi Unit Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (UPKT) sedang mengumpul maklumat mengenai semua projek perumahan
terbengkalai di negeri ini untuk dimajukan semula oleh pemaju baru atau SPNB.
Katanya, pengumpulan maklumat itu penting bagi membolehkan kerajaan mengenal
pasti projek yang sudah lama terbengkalai untuk diberi keutamaan dalam
kerja-kerja membaik pulih.
"Kerajaan memerlukan kerjasama pemaju dan pembeli untuk menyelesaikan
masalah projek terbengkalai.
"Ada pemaju memberi alasan kekurangan tenaga kerja, selain masalah kewangan
dan pengurusan sebagai punca projek perumahan kendalian mereka tertangguh
hingga memberi kesan kepada ramai pembeli," katanya. |