Pemaju potong bekalan air
BH 30/08/2005 Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
PETALING JAYA: Seramai 40 keluarga di kawasan perumahan Pangsapuri Permai,
Damansara Damai di sini, kesal sikap pemaju yang mengendalikan kerja
penyelenggaraan memotong bekalan air ke rumah mereka.
Penduduk mendakwa, pemaju tidak menjalankan kerja penyelenggaraan dan
pengurusan dengan sempurna walaupun membayar RM60 sebulan bagi perkhidmatan
itu.
Mereka mendakwa pemaju mengambil sikap lepas tangan dengan memberi pelbagai
alasan apabila penduduk mengadu masalah penyenggaraan di kawasan rumah
berkenaan.
Seorang penduduk, Chew Jyn Chyn,40, berkata beliau tidak faham kenapa
penduduk harus membayar bil elektrik dan air kepada pemaju sedangkan ia
seharusnya dibayar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat
Pengurusan Air Selangor (Syabas). “Kami mengambil keputusan tidak membayar
wang penyelenggaraan kepada pemaju dan mereka terus memotong bekalan air.
Selain itu, saya sangsi kenapa semua bil elektrik yang diterima penduduk
beralamat pemaju sedangkan ia sepatutnya beralamat rumah penduduk sendiri.
“Seperkara lagi, selepas paip air dibuka, paip air lain akan ditukar dan
kami tidak tahu apakah tujuan mereka melakukannya,” katanya.
Beliau berkata, syarikat terbabit tidak sepatutnya bertindak sesuka hati
tanpa merujuk kepada wakil penduduk mengenai kerja pemotongan air kerana ia
menyusahkan mereka, terutama yang mempunyai anak bersekolah.
“Apa salahnya pemaju memaklumkan pemotongan air kepada penduduk. Jika ini
dilakukan, ia memudahkan kami menyimpan air secukupnya.
“Kami juga tidak puas hati dengan sikap pemaju kerana mengabaikan kebajikan
penduduk seperti tidak membaik pulih kerosakan bangunan, taman permainan dan
tidak menyediakan tong sampah dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Jusoh Ngah, 39, berkata ada kontraktor pengangkut sampah
tidak mengangkut sampah yang dilonggokkan di luar tong sampah yang
disediakan.
“Ada penduduk terpaksa membuang sampah di luar tong yang sudah penuh kerana
lambat diangkut,” katanya.
Ng Chee Kuan,38, berkata pemaju juga tidak memperbaiki bahagian bumbung
pangsapurinya dengan sempurna walaupun sudah beberapa kali aduan.
“Walaupun diperbaiki, keretakan masih berlaku dan pemaju tidak mengambil
tindakan selepas itu,” katanya. |