This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju liat bayar pampasan
BH 10/8/2005

Mahkamah pada 4 Februari lalu memerintahkan pemaju Taman Desa Beringin membayar pampasan kelewatan menyiapkan projek

SEREMBAN: Pembeli rumah Taman Desa Beringin, Sikamat, di sini masih terus menunggu pembayaran pampasan kelewatan projek perumahan mereka walaupun pemajunya sudah diperintahkan berbuat demikian oleh mahkamah pada 4 Februari lalu.


Berdasarkan perintah itu, pemaju projek berkenaan, Housecoff Sdn Bhd perlu membayar antara RM8,000 hingga RM15,000 kepada 14 pembeli dalam tempoh tujuh hari selepas perintah dikeluarkan, tetapi sehingga kini gagal dipatuhi.


Kekecewaan pembeli bertambah kerana pemaju itu bukan saja mengingkari perintah mahkamah, malah kini sedang memajukan pula kawasan perumahan baru di Senawang, dekat sini.


Berikutan, sesetengah pembeli bertindak memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah menyita dan menjual harta pemaju terbabit bagi mendapatkan bayaran pampasan berkenaan.


Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Desa Beringin (PPTDB), Zulkifli Nazaruddin, 42, berkata pemaju berjanji menyiapkan projek dalam tempoh dua tahun selepas pembeli menandatangani perjanjian pembelian pada Januari 1999.


"Bagaimanapun, rumah yang dibeli pada harga antara RM72,250 hingga RM83,650 itu gagal disiapkan mengikut tempoh. Mengikut perjanjian jual beli, pemaju dikehendaki membayar denda kelewatan," katanya.


Bendahari PPTDB, Romy Abdul Kadir, berkata pihaknya tidak mahu isu itu berlarutan kerana sudah enam bulan pemaju ingkar perintah mahkamah, sedangkan pembeli sudah menunggu kira-kira empat tahun untuk menduduki rumah dibeli.


Katanya, pemaju ada menawarkan ansuran RM500 sebulan untuk menyelesaikan pampasan itu, tetapi ditolak pembeli yang kemudian memberikan tiga pilihan pembayaran, iaitu secara sekali gus, dua kali ansuran atau tiga kali ansuran.


Sementara itu, Pengurus Projek Housecoff Sdn Bhd, Fuziah Harun, ketika dihubungi memberi jaminan syarikatnya akan menjelaskan bayaran pampasan itu, tetapi secara ansuran kerana kekurangan sumber kewangan.


"Kami sudah tiga kali berunding mengenai soal pembayaran itu. Untuk membayar sekali gus kepada semua pembeli, syarikat tidak mempunyai wang yang cukup, jadi kami harap pembeli faham dan bertolak ansur," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.