Bayaran tak setimpal
penyelenggaraan
BH 15/8/2005
KAMI tidak puas hati dengan syarikat pengurusan Pangsapuri Harmoni, Presint
9, Putrajaya mengenakan pelbagai caj tambahan sebaik saja kerajaan
mengumumkan pemberian elaun sara hidup atau Cola kepada kakitangan awam.
Tiba-tiba wujud bil cukai pintu tertunggak untuk selama dua tahun.
Persoalannya mengapa tidak dikutip dua tahun lalu?
Setiap unit juga dikehendaki membayar wang untuk tabung kerosakan atau
‘sinking fund’ sejak tahun lalu. Wang ini kononnya diperlukan bagi membaiki
kemudahan awam seperti lif, lampu koridor dan lain-lain yang rosak dan
musnah akibat vandalisme.
Kenapa semua penghuni dipersalahkan untuk kesilapan yang dilakukan
segelintir orang yang tidak bertanggungjawab? Tidak cukupkah dengan bayaran
penyelenggaraan yang kami bayar setiap bulan RM55 untuk menangani masalah
ini?
Tidak adil kami dibebankan dengan bil tertunggak ini sekali gus, Sekiranya
terlambat bayar, kami dikenakan faedah dan saluran air ke rumah kami ditutup.
Saya menetap di sini hampir tiga tahun dan bayaran penyelenggaraan yang kami
bayar selama ini tidak setimpal dengan perkhidmatan disediakan.
Di blok A, lif tidak pernah dibaiki sejak setahun lalu, Kami menggunakan
hanya satu lif dan akibatnya pada waktu sibuk pagi dan petang, terpaksalah
kami menggunakan tangga kerana lif selalu penuh.
Bagi yang tinggal di tingkat bawah, mungkin tidak apa tetapi bagaimana
dengan penghuni yang tinggal di tingkat 9, 10 dan 11. Tambah membebankan
jika ada anak kecil yang perlu dihantar kepada pengasuh.
Belum pun reda kekecewaan dan kemarahan kami dengan bil tertunggak ini, kami
sekali lagi dikejutkan dengan surat daripada syarikat pengurusan yang
memaklumkan bayaran penyelenggaraan dinaikkan daripada RM55 kepada RM75.
Kami ingin meminta pihak berkenaan agar memahami masalah kami. Kami tidak
minta duduk percuma tapi biarlah bil dikenakan berpatutan. Saya ingin
meminta kerajaan dan pihak pentadbiran Putrajaya melihat masalah ini.
PENGHUNI TAK HARMONI,
Putrajaya. |