Tiada lagi projek baru
Berita Harian 8/7/2005 Oleh Ahmad Naim Tahir
SEREMBAN: Kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan
sebarang pembangunan baru dilaksanakan di sekitar pusat bandar
Seremban, sebaliknya dialih ke kawasan pinggirnya seperti Senawang,
Nilai dan Seremban 2.
Keputusan itu dibuat berikutan kekurangan kawasan untuk tujuan
berkenaan selain bagi membantu usaha mengatasi masalah kesesakan
yang teruk di pusat bandar.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata atas dasar itu,
kerajaan negeri menolak permohonan beberapa pihak yang berminat
membangunkan bandar ini.
"Bandar Seremban sudah terlalu sesak dan padat," katanya, selepas
melancarkan Pusat Pengajian Pembelajaran Sepanjang Hayat Universiti
Terbuka Malaysia (OUM) di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri,
Datuk Mohamad Rais Zainudin dan Presiden universiti berkenaan, Tan
Sri Anuwar Ali.
Mengenai bangunan lama di bandar ini, Menteri Besar berkata, premis
terbabit akan dijadikan warisan sejarah melalui usaha pemuliharaan
bersama di antara pemilik dan kerajaan negeri.
Katanya, semua bangunan lama itu akan dicat semula dengan
kemungkinan kerajaan negeri menanggung sedikit kos bagi tujuan
berkenaan selain potongan harga cat. |
|
|