Seremban perlu cawangan tribunal pembeli rumah
12/07/2005
Berita Harian
SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta
membuka pejabat cawangan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah di bandar
ini untuk kemudahan orang ramai berurusan.
Ketiadaan pejabat cawangan itu di negeri ini menyukarkan ramai
pembeli rumah menyelesaikan masalah berkaitan rumah yang dibeli
malah setakat ini, Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca)
menerima lebih daripada 100 aduan berkaitan rumah yang dibeli.
Presidennya, Khairuddin Yunus berkata antara masalah dikemukakan
ialah pemaju tidak menyiapkan projek perumahan dalam tempoh
ditetapkan selain kerosakan dan kualiti rumah yang kurang memuaskan.
“Selain itu ada projek perumahan yang terbengkalai bertahun-tahun
hingga pembeli terpaksa menanggung kerugian beribu-ribu ringgit
manakala pemaju terbabit pula menghilangkan diri.
“Ada pemaju yang memindahkan pejabat operasi ke tempat lain untuk
mengelirukan pembeli selepas projek mereka menghadapi masalah,”
katanya ketika di temui di sini, kelmarin.
Khairuddin berkata, masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama
dan Nesca sukar membantu pembeli terbabit kerana urusan berkaitan
tribunal itu hanya dibuat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, setiap masalah yang dikemukakan itu juga sukar
dipantau kerana jarak yang jauh antara Seremban dan Kuala Lumpur
selain memerlukan kos dan masa yang panjang.