This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk kesal sikap JPP
Berita Harian 19/7/2005
 


KECEWA: Penduduk Flet Tar, di sini meluahkan rasa
tidak puas hati terhadap pengurusan DBKL.

KUALA LUMPUR: Penduduk rumah pangsa Tuanku Abdul Rahman (Tar), di sini tidak putus-putus ditimpa masalah berikutan pengurusan Jabatan Pengurusan Perumahan (JPP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikatakan tidak sistematik.

Penduduk terbabit kecewa dengan sikap JPP melanggar perjanjian yang dicapai ketika Mesyuarat Jawatankuasa bersama DBKL sepanjang proses perpindahan penduduk berkenaan ke Perumahan Awam Sri Rampai, dekat Setapak.

Setiausaha Badan Penyelaras Pembangunan, Pemindahan Penduduk Flet Tar, Zulkifli Mohd Nor, berkata penduduk tidak diberi tempoh masa yang cukup untuk membuat persiapan sebelum berpindah ke Perumahan Awam Sri Rampai menyebabkan ramai di kalangan mereka kehilangan barang berharga ketika berpindah.

“Bayangkan pada 21 Jun lalu sebahagian penduduk diberi surat tawaran berpindah jam 10 pagi dan hanya diberi masa sejam untuk mengemaskan barangan sebelum berpindah ke perumahan Sri Rampai.

“Pegawai JPP bertugas pula bersikap dingin dan mementingkan diri sendiri. Penduduk pula sering dihambur dengan kata-kata kurang manis sepanjang proses berpindah,” katanya pada sidang media di rumah pangsa Tar, semalam.

“Ketika itu ramai penduduk kehilangan barang berharga kerana terpaksa meninggalkan sebahagian barangan yang tidak dapat dimuatkan ke dalam lori kerana DBKL hanya menyediakan satu trip.

“Sudahlah terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa kerana tawaran berpindah dibuat mengejut. Trip berpindah pula dikurangkan daripada dua kepada satu trip.

“Perumahan baru yang disediakan juga tidak lengkap dengan kemudahan. Tidak sampai beberapa minggu, lif sudah rosak dan tidak berfungsi. Keselamatan rumah juga tidak terjamin kerana pintunya mudah dikopak dan tidak kukuh. Banyak kes kecurian sudah berlaku di perumahan Sri Rampai itu,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya sudah dua kali menghantar surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur memohon supaya turun padang melihat sendiri proses pemindahan penduduk yang diselia kakitangannya, malang sekali permintaan itu tidak mendapat maklum balas.

Katanya, penduduk juga menuntut hak untuk memiliki rumah diduduki mereka secara sewa beli seperti yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perumahan DBKL adalah milik kerajaan dan bukan pihak berkuasa tempatan itu.

FAKTA NOMBOR

  • 2,791 Keluarga di Flet Tar

  • 900 Keluarga sepatutnya berpindah bagi fasa pertama pada 16 Jun 2005

  • 200 Keluarga yang sudah berpindah bagi fasa pertama

  • 500 Keluarga akan berpindah bagi fasa kedua pada 19 Ogos 2005

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.