Pembeli desak pemaju segera
siapkan rumah terbengkalai
Berita Harian 21/07/2005
KLANG: Pembeli rumah menerusi Projek Pembesaran Kampung Desa Kerayong Indah
di sini, mendesak pemaju projek terbabit, Bumi Circle Sdn Bhd mempercepatkan
pembinaan rumah mereka yang sepatutnya siap tiga tahun lalu.
Pembeli merungut kerana kelewatan pemaju menyiapkan rumah itu menyebabkan
mereka terpaksa menanggung beban membayar balik pinjaman bank dan cukai
tanah.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Penduduk Desa Kerayong Indah, Hishamuddin
Othman, 40, berkata pemaju projek itu memulakan kerja pembinaan pada 1999
dan sepatutnya siap pada 2002.
"Projek ini adalah inisiatif kerajaan negeri melalui status tanah kurniaan
dalam Tanah Simpanan Melayu yang diberikan kepada penduduk.
"Pemaju juga ditetapkan kerajaan negeri," katanya pada majlis pertemuan
pemaju dan pembeli di Dewan Orang Ramai Meru dekat sini, kelmarin.
Selain kelewatan menyiapkan projek, pembeli rumah juga tidak berpuas hati
dengan beberapa spesifikasi seperti penggunaan blok batu besar dan pintu
yang terlalu sempit.
Jawatankuasa penduduk itu sudah menghantar surat aduan kepada Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Selangor, Datuk
Seri Dr Mohamad Khir Toyo meminta mereka campur tangan.
Hishamuddin berkata, beberapa langkah sudah diambil kerajaan seperti
menyelesaikan masalah pembetungan dan mengarahkan pemaju meneruskan
pembinaan.
Selain itu, katanya, Bank Negara turut membantu menjadualkan semula bayaran
pinjaman pembeli.
"Pemaju bersetuju menggerakkan semula projek dan membuat beberapa perubahan
membabitkan pindaan pada pelan rumah, memperbaiki tapak serta menyelesaikan
masalah sistem tangki septik berpusat kepada sistem individu," katanya.
Sementara itu, wakil pemaju, Mohd Johari Osman berkata, pihaknya berjanji
akan menyiapkan semua rumah pada Jun 2006 manakala infrastruktur lain
dijangka lengkap Ogos tahun sama.
"Pemaju akan melakukan yang terbaik untuk memuaskan semua pembeli. Pada
asasnya, semua spesifikasi tapak serta reka bentuk sudah diperbaiki dan
kerja akan diteruskan secepat mungkin," katanya. |