Pemaju didakwa gadaikan bangunan tanpa
kebenaran
Berita Harian 21/7/2005 Oleh Faiza Zainudin
Tindakan ini mengejutkan pemilik kedai di Menara Sentosa
yang membelinya sejak 1993 menggunakan pinjaman bank
MARAH: Pemilik unit kedai di Menara Sentosa tidak puas hati dengan
tindakan pengurusan bangunan berkenaan yang enggan
mengeluarkan geran hak milik.
ALOR STAR: Dua
puluh dua pemilik kedai di Menara Sentosa, di sini, membuat laporan di Ibu
Pejabat Polis Daerah Kota Star semalam, kerana pemaju menara berkenaan
menggadaikan harta mereka kepada bank tanpa kebenaran.
Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Pemilik Kedai Menara Sentosa, Ng In
Kun, 40, mendakwa pemaju terbabit yang tidak pernah mengeluarkan geran
individu kepada mereka sejak 12 tahun lalu, mencagar kedai di menara itu
tanpa pengetahuan pemiliknya.
Beliau berkata, perkara itu mengejutkan pemilik kedai di menara berkenaan
yang membelinya sejak 1993 menggunakan pinjaman bank.
Menara Sentosa mempunyai 39 lot kedai dan dibeli 39 pemilik. Bagaimanapun,
hanya 22 pemilik yang membuat laporan polis semalam, manakala bakinya
dijangka berbuat demikian tidak lama lagi.
Ng berkata, jawatankuasa itu pernah beberapa kali menghubungi pemaju
berkenaan yang berpejabat di Jalan Kampung Perak, di sini, tetapi tiada
jawapan.
"Mereka tidak melayan tuntutan kami supaya menyerahkan geran individu serta
memberi penjelasan berhubung isu gadaian itu," katanya.
Sehubungan itu, katanya, jika jawatankuasa terbabit tidak menerima sebarang
maklum balas pemaju dalam tempoh 14 hari selepas laporan dibuat, mereka akan
mengambil tindakan undang-undang.
Sementara itu, seorang pemilik, Mohd Zainal Ariffin, 62, berkata pemaju
terbabit juga tidak menunaikan janji untuk membuat penyelenggaraan menara
berkenaan seperti membersihkan tandas serta membaiki alat pendingin hawa dan
elektrik yang rosak, sejak beberapa tahun lalu.
"Mereka sebaliknya menghentikan kemudahan seperti eskalator dan lif sehingga
menyusahkan pemilik dan orang ramai serta menjejaskan perniagaan kami,
menyebabkan hanya beberapa kedai yang masih beroperasi di sini," katanya.
Mohd Zainal berkata, pemaju itu juga mahu mengambil tindakan undang-undang
ke atasnya kerana tidak membayar wang penyelenggaraan sebanyak RM400 sebulan.
"Saya tidak membayarnya kerana kedai saya tidak beroperasi dan mereka pula
tidak menjalankan kerja pembersihan. Sudahlah saya membayar pinjaman bank
lebih RM1,000 sebulan, saya disuruh membayar pula caj perkhidmatan yang
tidak dijalankan," katanya.
Sementara jurucakap Binaan Sentosa Sdn Bhd, pemaju Menara Sentosa, berkata
syarikat itu sudah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian
Daerah Kota Star untuk membolehkan pemilik kedai mendapatkan hak milik
strata masing-masing, sejak 10 tahun lalu. |