Pemaju didakwa abai masalah
penduduk
Berita Harian 22/7/2005 Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
Penduduk Pangsapuri Melati Impian belum menerima sijil layak menduduki dan
lebih menyedihkan, CF sementara sudah tamat tempoh pada September tahun lalu
BOCOR: Yew (tengah) melihat kebocoran pada dinding Pangsapuri Melati Impian.
KUALA LUMPUR: Penduduk Pangsapuri Melati Impian semakin tertekan dengan
sikap pemaju perumahan terbabit, Mega Planner Jaya Sdn Bhd, yang bersikap
lepas tangan terhadap masalah dihadapi mereka sejak setahun setengah
mendiami pangsapuri itu.
Wakil penduduk, Shamsul Ariffin Osman, 36, berkata sejak menghuni pangsapuri
itu pada April tahun lalu, penduduk masih belum menerima sijil layak
menduduki (CF) dan lebih menyedihkan, CF sementara sudah tamat tempoh pada
September tahun lalu.
Beliau berkata, penduduk juga berdepan masalah meletak kereta kerana
dikenakan bayaran amat tinggi yang tidak mampu dibayar penduduk
berpendapatan rendah dan sederhana.
“Sejak duduk di sini, kami hanya dibekalkan CF sementara sedangkan sudah
lebih setahun kami menghuni pangsapuri ini.
“Kami dikenakan tiga peringkat bayaran. Bagi penghuni yang memilih meletak
kenderaan di kawasan berbumbung dikenakan bayaran sehingga RM10,000,
manakala RM7,000 bagi kawasan separuh berbumbung dan RM5,000 bagi kawasan
terbuka.
“Kami keliru dengan perjanjian sebelum ini antara pemaju dan Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) sama ada tempat letak kereta ini percuma atau untuk
jualan,” katanya ketika sesi dialog mewakili penduduk Pangsapuri Melati
Impian bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju, Yew Thian Loke, di sini, semalam.
Shamsul berkata, masalah lain yang turut membelenggu penduduk ialah
perubahan nombor pada setiap unit rumah yang tidak sepatutnya berlaku dan
dikhuatiri akan menimbulkan masalah lebih besar kemudian hari.
“Setiap unit rumah yang diduduki bertukar nombor. Contohnya, unit 03-02
menjadi 3-10 oleh pemaju. Ia bertentangan dengan apa yang tercatat di dalam
perjanjian jual beli.
“Perkara ini tentu menyukarkan penduduk pada kemudian hari. Sebagai contoh,
sekiranya berlaku kebakaran, implikasinya kepada pengesahan CF oleh pihak
berkuasa tempatan serta penyerahan hak milik strata akan timbul,” katanya.
Penduduk juga bimbang keselamatan mereka terjejas berikutan terdapat
keretakan pada bangunan berkenaan yang juga sering mengalami kebocoran.
Sementara itu, Yew berkata, beliau kesal dengan sikap pemaju yang tidak mahu
bertanggungjawab terhadap permasalahan dihadapi penduduk pangsapuri itu.
“Saya difahamkan penduduk sudah empat kali mengatur pertemuan dengan pemaju
bagi mencari penyelesaian masalah di tempat tinggal mereka. Bagaimanapun,
hanya sekali mereka hadir dan membaiki ala kadar kekurangan yang perlu.
“Saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan DBKL dan mencuba sedaya upaya
membantu menyelesaikan masalah penduduk ini,” katanya. |