Kawasan rekreasi diceroboh
pemaju
Berita Harian 22/7/2005
KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Mastiara masih tidak berpuas hati dengan
tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meluluskan projek
pembinaan 48 unit rumah mewah tiga tingkat membabitkan kawasan seluas 2.68
hektar dari keseluruhan 70 hektar tanah Taman Rekreasi Metropolitan Batu,
Jalan Ipoh, dekat sini.
Yang Dipertua Persatuan Penduduk dan Pemilik Taman Mastiara, Nadzry Abd
Hamid, berkata mereka tidak dapat menunggu lebih lama lagi mengenai hal ini
kerana pemaju sudah bertindak memagari kawasan terbabit daripada diceroboh.
“Proses memagar dilakukan dua minggu lepas selepas berita mengenai hal ini
mendapat liputan daripada media.
“Tindakan itu seolah-olah tidak mempedulikan suara hati kami dan mereka
seperti mementingkan diri dalam mengaut keuntungan masing-masing,” katanya
ketika membawa wartawan melakukan lawatan ke tapak projek perumahan itu,
semalam.
Turut hadir dalam lawatan ke tapak projek perumahan ini ialah Timbalan Ketua
Pengarah 1, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Isbah Idrus
Nadzri berkata, pembinaan perumahan itu bukan saja ‘merampas’ keperluan
penduduk setempat malah mengabaikan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan bandaraya Kuala Lumpur sebagai Bandar
Dalam Taman.
“Kawasan rekreasi ini menjadi tempat beriadah keluarga apatah lagi selepas
kerajaan menjadikan hari Sabtu sebagai cuti hujung minggu.
“Malah pengunjungnya terdiri daripada penduduk Petaling Jaya dan Rawang.
Jadi jika kawasan ini pun hendak dimajukan projek perumahan, apa yang
tinggal untuk penduduk,” katanya. |